Sabda RasulAllah saw : Ada dua kalimat yang ringan di lidah namun sangat berat timbanganya di neraca Allah.
سبحان الله و بحمده ... سبحان الله العظيم

"Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, sebaik-baik amalku pada penamatnya dan sebaik-baik hariku, ialah hari ketika aku bertemu denganMu, Ya Allah..."

Friday, June 19, 2009

TUTUPLAH AURAT DENGAN SEMPURNA




















Hukum menutup aurat dengan sempurna bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib.

Ramai wanita yang memakai tudung kerana terikut-ikut dengan suasana. Mereka melihat orang disekeliling mereka, adik beradik, teman sekolah, teman sekerja telah ramai memakai tudung, maka timbul rasa malu kerana mereka sahaja yang masih tidak bertudung. Ataupun kerana baru balik menunaikan haji atau umrah, lantaran itu mereka mengambil keputusan untuk memakai tudung kerana takut dikata orang, walaupun hati tidak berapa menyetujuinya.

Firman Allah lagi yang bermaksud: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Ahzab, ayat 59).

Dalam ayat di atas, Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

Apapun seandainya kita seseorang yang bertudung perlu ingat biarlah serba serbinya mesti melambangkan insan yang bertudung. Amat menyedihkan, kalau dahulu wanita bertudung tidak akan ditemui berdua-duaan di dalam kereta, di taman-taman bunga, di tempat- tempat hiburan, berpegangan tangan dengan teman lelaki, dipanggung wayang atau kalau dahulu wanita bertudung bersih mukanya daripada calaran alat-alat make up melampau, tetapi kini dengan mudah kita boleh jumpa wanita bertudung berpeleseran dengan teman lelaki di tempat-tempat sedemikian.

Kadang-kadang pakai tudung pun tidak sempurna mengikut syariat. Jangan memakai tudung hanya ingin mengikut fesyen semata-mata. Memakai tudung berwarna warni mengikut fesyen sesuai dengan aliran zaman dan fesyen baju. Kadang-kadang macam nak terlondeh, antara hendak tutup dan hendak buka. Wanita yg berniat untuk menutup aurat dengan tudung tetapi tudungnya berfesyen sehingga menarik lelaki memandangnya, atau pun tudung yang dipakainya tidak memenuhi syarat menutup aurat yakni bertudung tetapi masih nampak pangkal leher, bermakna dia belum lagi sempurna menutup aurat, malah semakin berdosa kalau dengan memakai tudung yang berfesyen itu menyebabkan lelaki jatuh hati. Dikala itu tudung bukan menjadi alat menutup aurat, tetapi menjadi alat untuk berhias. Kita bukan mendapat pahala dengan menutup aurat tetapi mendapat dosa.

Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:

Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan

Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).

Allah berfirman yang bermaksud:
Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. (Surah al-Nur, ayat 31)

Firman Allah lagi yang bermaksud:
Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Ahzab, ayat 59).

Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

Pakaian yang longgar

Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.

Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud:
Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain qubtiyyah (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu. Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: Dan suruhlah isterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya).

Menurut Ibn Rusyd,
qubtiyyah ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

Pakaian yang tidak jarang

Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan:
Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya.

Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.

Bukan pakaian yang menarik perhatian

Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.

Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud:
Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka.

Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir

Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas:
Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.

Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.

Tidak bertabarruj

Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.

Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud:
Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama). (Surah al-Ahzab, ayat 33)

Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.

Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada। Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya ilmu Islam sebenar.




“Pakaian terindah bagi kaum mukmin adalah taqwa, sedangkan pakaian ternikmat adalah iman.”


1 comment:

Rose said...

adat manusia... kdg2 hati menguasai akal hingga terbenam timbangan dosa dan pahala. semoga akal kita waras selamanya...
http://mahligaibridalhouse.blogspot.com