Sabda RasulAllah saw : Ada dua kalimat yang ringan di lidah namun sangat berat timbanganya di neraca Allah.
سبحان الله و بحمده ... سبحان الله العظيم

"Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, sebaik-baik amalku pada penamatnya dan sebaik-baik hariku, ialah hari ketika aku bertemu denganMu, Ya Allah..."

Saturday, June 27, 2009

INGAT MATI

Satu demi satu insan yang kita sayangi atau kenali pergi menemui Tuhan yang Esa. Dunia hari ini gempar dengan kematian bintang popular Michael Jackson. Bila pula giliran kita akan tiba ????? Takut memikirkan saat-saat kematian kita tapi masih belum juga bersedia...

Ingat mati cegah manusia bergelumang maksiat

Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Usah menunggu tua untuk bertaubat, beramal salih kerana maut datang tanpa diduga.
MANUSIA yang tenggelam dalam kemewahan dunia, dikuasai hawa nafsu dan hidup dibelenggu maksiat amat sikit bahkan mungkin juga tidak mengingati malaikat maut pasti datang membawa perintah Allah untuk meragut nyawanya.


Jika mengingati mati, pasti mereka ketakutan atau bersedih kerana mengingatkan apa yang bakal dihadapinya di alam akhirat, tetapi ia gusar mengenangkan harta bendanya serta segala kemewahan dunia yang bakal ditinggalkannya.

Firman Allah: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan pada hari kiamat saja akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia sudah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanya kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Ali Imran: 185).

Ketahuilah kematian pasti tiba kepada seluruh umat tanpa mengenal erti bangsa, kedudukan, kekayaan atau gagah perkasa. Tiada sesiapa pun yang boleh melarikan diri daripada maut. Apabila ditetapkan waktu kematian seseorang, ia tidak akan tertunda atau dicepatkan walaupun sesaat.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetap menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).” (Al-Jumu’ah: 8)

Dengan mengingati kematian, kita lebih berwaspada dalam menghadapi liku kehidupan dan sentiasa berusaha menurut perintah Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan larangannya kerana kita tidak tahu bila ajal tiba.

Mengingati kematian menyebabkan kita teruja membuat persiapan rapi menghadapinya nanti. Oleh itu, Islam amat menganjurkan kita sentiasa mengingati kematian.

Cara terbaik ialah mengenangkan keluarga, sahabat atau sesiapa saja yang boleh mempengaruhi hidup kita. Mereka mungkin memiliki kekayaan, jawatan besar serta disanjung tetapi kini jasadnya bersendirian di dalam kubur. Hartanya, kedudukannya serta sanjungan orang ramai kini terpisah daripadanya. Kita perlu serapkan di jiwa kematian juga pasti menjemput dan akan keseorangan di alam kubur.

Kita juga perlu menziarahi kubur kerana membantu mengingati kita juga akan menghadapi nasib sama dengan ahli kubur itu. Islam juga menganjurkan kita menziarahi orang sakit serta menghadiri majlis pengebumian kerana dapat mengingatkan kita mengenai kematian. Mengingati kematian membawa nilai positif terhadap insan, maka banyak dalil menganjurkan manusia selalu mengingati kehidupan hanya sementara.

Rasulullah juga mengkategorikan insan yang sentiasa mengingatkan kematian sebagai manusia paling bijaksana. Ibnu Umar berkata: “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?

“Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik,” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)

Mengingati kematian juga boleh mendatangkan ketenangan jiwa seseorang sedang menghadapi kesulitan hidup.

Ia menimbulkan kesedaran dunia bukan segala-galanya dan selepas kematian ada alam yang kehidupan serta kenikmatannya abadi.

Bagi mereka yang dianugerahkan kesenangan, maka mengingati kematian menjauhkannya daripada kerlipan serta godaan duniawi.

Kematian menyedarkannya kesenangan duniawi tidak kekal dan dia bakal berpisah dengannya.

Hanya kehidupan di alam akhirat kekal abadi dan ini dapat menggerakkan jiwa untuk mempergunakan segala kesenangan di dunia ini demi mencapai kebahagiaan di akhirat.

Oleh itu, dengan menyedari setiap bernyawa pasti akan menghadapi maut yang hanya diketahui Allah, pasti ia menimbulkan semangat untuk segera melakukan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.

Jika seseorang menangguhkan untuk melakukan amalan salih dan ternyata ajalnya tiba ketika asyik melakukan maksiat, dia termasuk orang yang rugi dan bakal mendapat balasan buruk di akhirat.

Justeru, setiap umat Islam harus manfaatkan kehidupannya dengan cara terbaik iaitu mengerjakan amalan diperintah Allah dan Rasul-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Ketika tubuh sihat, kita manfaatkan semaksimum mungkin supaya menjadi insan beriman, bertakwa dan gemar mengerjakan amal salih.

Mana tahu entah esok mahupun lusa kita ditimpa kecelakaan sehingga terlantar keuzuran dan tidak lagi mampu melakukan amalan yang salih.

Kita pergunakan hayat dengan menghindari perbuatan maksiat kerana mungkin entah esok mahupun lusa malaikat maut mencabut nyawa sedangkan kita masih bergelumang dengan dosa.


“Ya Allah, hidupkanlah kami dalam IMAN dan matikanlah kami dalam IMAN, selamatkanlah IMAN kami dari gangguan syaitan semasa kami menghembuskan nafas yang terakhir”



HIDUP SIHAT CARA RASULULLAH

“Dua nikmat yang kebanyakan manusia tertipu (rugi karena tidak memperhatikannya), yakni kesihatan dan waktu luang” (HR. Bukhari).

Dari hadis di atas jelaslah bahwa kebanyakan manusia melalaikan nikmat Allah berupa kesihatan. Padahal Allah mengingatkan setiap manusia, bila tidak mensyukuri nikmat akan mendapatkan azab/hukuman.

Suatu ketika Raja Mesir Muqauqia mengutus seorang tabib (doktor ke Madinah untuk kepentingan Rasulullah dan para sahabat dengan memberikan pengubatan secara percuma kepada masyarakat Madinah. Setelah sekian lama di Madinah ternyata tak seorang pun yang datang berubat padanya, akhirnya sang tabib pun datang menghadap Rasulullah untuk meminta kebenaran pulang Ke Mesir.

Rasulullah mengizinkan sang tabib pulang seraya menyampaikan terima kasih dan penghormatan yang besar . Sebelum meninggalkan Madinah sang tabib sempat bertanya pada Rasulullah ,” Wahai Rasul yang mulia, izinkanlah saya mengetahui rahasia apa yang menyebabkan tidak seorang pun penduduk Madinah ini mengeluh sakit??”. Baginda pun lantas menjawab, “Kami (umat Islam ) hanya makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang”.

Rasulullah mendefinisikan hidup sihat tidak hanya secara fizikal saja tetapi juga mencakup psikologi sebab apa ertinya jika jasmani sihat tanpa diikuti oleh rohani yang sihat pula, begitupun sebaliknya.

Cara Rasulullah menyihatkan jasad:


Pertama, melakukan tindakan pencegahan
1. Meninggalkan kebiasaan makanan dan minuman yang membahayakan jasmani dan haram misal: minuman keras dan rokok
2. Menahan diri dari marah dan emosi
3. Mengurangi jumlah makanan dan minuman untuk menurunkan berat badan yang berlebihan

Cara pencegaahan penyakit dapat dilakukan dengan cara:

1. berpuasa
2. makan tidak berlebihan ;
“Makan dan minumlah, dan jangan berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebihan.” (Qs.7:31)

Rasulullah pun memberi penegasan dalam hal ini dengan sabdanya. "Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap makan untuk menegakkan tulang punggungnya. Kalau tidak termampu maka 1/3 untuk makanan, 1/3 untuk air dan 1/3 untuk udara"

3. Mendinginkan makanan dan minuman yang akan dimakan
“Dinginkanlah makanan yang akan kamu makan, karena makanan yang panas itu tidak akan membawa berkah”. Menurut ilmu kesihatan ,ternyata telah terbukti makanan dan minuman yang panas dapat merosakan gigi.

4. Melarang meniup makanan dan minuman yang akan dimakan atau diminum
Rasulullah saw melarang meniup-niup makanan dan minuman untuk mendinginkannya”.(HR.Abu Daud)

Kedua , Membiasakan minum madu.
Rasullullah bersabda, “hendaklah kamu sekalian mempergunakan dua macam penyembuh yakni al Quran dan madu”

Ketiga, Banyak minum air putih
Menurut ilmu anatomi ,70 % tubuh manusia terdiri dari cairan (air)air yang keluar setiap hari dari tubuh manusia sekitar 2 liter , untuk menggantikan air yang keluar tersebut(air seni dan keringat) kita harus minum air putih sekurang-kurangnya 2 liter perhari

Keempat, Bersenam
bersenam sangat penting untuk kesihatan jasmani. Rasulullah bersabda, ”Bersenam (olahraga) itu suatu keberkahan”

Kelima, Minum air zam-zam


Empat perkara yang hanya diketahui oleh empat jenis orang akan nilainya iaitu:

1. Nilai masa muda hanya diketahui oleh orang tua-tua.
2. Nilai kedamaian hanya diketahui oleh orang yang pernah ditimpa bencana.
3. Nilai kesihatan hanya diketahui oleh orang-orang sakit.
4. Nilai kehidupan hanya diketahui oleh orang-orang yang telah mati.




Tuesday, June 23, 2009

BULAN REJAB

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.....


Diam tak diam kita sedang menghampiri bulan Rejab. Bulan-bulan hijrah datang dan pergi tanpa kita sedari. Kebanyakkan dari kita hanya sedar bila tiba bulan Ramadhan dan bulan Syawal sahaja.

Rejab mempunyai keistimewaan tersendiri kerana umat Islam mula mempertingkatkan amal ibadahnya terutama berpuasa sunat atau puasa ganti pada bulan Rejab dan seterusnya ibadat ini berterusan pada bulan Syaaban dan Ramadhan.

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”

Antara keistimewaan bulan Rejab:

1. Sabda Nabi s.a.w.: Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat.

2. Sabda Nabi s.a.w.: Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadan bulan umatku.

3. Kemuliaan Rejab dengan malam ISRAK MIKRAJnya, Syaaban dengan malam NISFUnya dan Ramadan dengan LAILATUL QADARnya.

4. Malam awal Rejab mustajab do'anya. ( Dalam Kitab Raudhoh Iman Nawawi)

Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi : “Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”

Sempena bulan Rejab yang mulia, marilah kita sama-sama meningkatkan amal ibadah kita sebagai pemangkin untuk menghadapi Syaaban dan seterusnya Ramadhan.




Sunday, June 21, 2009

TERIMA KASIH AYAH










Panggilan ayah, abah, papa, bapa, baba ataupun abi, masing-masing punya pilihan untuk memilih antara frasa keramat itu sebagai gelaran. Selain ibu, bapalah insan utama, kemuncak murni kemuliaan insan. Bapa satu anugerah tidak ternilai buat seorang anak. Dia permulaan sebuah kehidupan, dialah juga penjaga yang menjadi tunggak kekuatan sesebuah keluarga. Tanpanya, si anak berdiri tanpa pegangan, ibarat kapal yang kehilangan nakhoda.

Pengorbanan mereka tiada terhingga, bakti mereka tidak terhapus walaupun nun jauh di perbatasan bumi. Walaupun hampir 23 tahun kau pergi, kasihmu tetap abadi di hati..... Al Fatihah.

"Selamat Hari Bapa untuk semua bapa-bapa, baru bergelar bapa dan bakal bapa"

Saturday, June 20, 2009

PANTUN SELOKA

e mail dari seorang sahabat











Tutup aurat satu tuntutan,
Dalam keluarga wajib tekankan,
Kalau keras hati gunalah rotan,
Demi melaksanakan perintah Tuhan.

Aurat ditutup mestilah lengkap,
Tudung litup termasuk skap,
Mini telekong pun orang cakap,
Elok dipandang tak payah pun 'make up'.

Berbaju kurung bukanlah mengurung
Lebih elok jubah jika direnung,
Kaki pula eloklah bersarung,
Agar syaitan susah nak bertarung.


Kalau wanita menutup aurat,
Orang jahat tak berani ngorat,
Bahkan boleh menjadi ubat,
Orang memandang boleh bertaubat.

Pakaian modern memanglah hebat,
Harganya mahal walaupun ketat,
Walaupun cantik tetapi singkat,
Orang memakai pun nampak pusat.

Berseluar ketat baju pun ketat,
Jarangnya pulak boleh dilihat,
Orang yang memakai memanglah dipandang jahat,
Dimurka oleh Allah, Rasul dan para malaikat.

Apa yang aneh bila dipandang,
Lengan pendek tapi bertudung,
Nampak seperti orang yang kudung,
Mata memandang ketiak seperti ikan lolong

Lagilah aneh bila di fikir,
Baju kebaya tudung berukir,
Nampak dada iman terjungkir,
Kain terbelah peha terukir.

Bila ditanya kenapa begitu,
Dia kata fesyennya dah macam tu,
Di dalam hati niat tertentu,
Menggoda jantan sudahlah tentu.

Menutup aurat boleh berfesyen,
Tetapi jangan menunjuk eksyen,
Sesuaikan diri ikut profesyen,
Kalau dilaknat tak guna sesen.

Kalau nak "Make Up" biarlah padan,
Jangan terlebih bila berdandan,
Minyak wangi juga fikirkan,
Bedak dan gincu sekadar keperluan.

Kasut tinggi cuba jauhi,
Kerana ia melahirkan bunyi,
Boleh menarik perhatian lelaki,
Perbuatan ini dibenci Ilahi.

Apatah lagi menghentakkan kaki,
Menarik perhatian orang laki-laki,
Melenggok punggung membinasakan diri,
Ustaz melihat pun separuh mati.

Buat apa nak tayang jambul,
Kecantikan tak usah ditonjol-tonjol,
Mahkota disimpan tak jadi bisol,
Memakai tudung Islam tersimbol.

Selokaku ini bukanlah jahat,
Cuma saja mahu peringat,
Kepada semua para sahabat,
Terutama sekali rakan sejawat.

Kalau nak ikut nasihat ini,
Jangan bertangguh ubahlah diri,
Benda yang baik tak payah diuji,
Akan terserlah akhlak terpuji.

Kepada semua kawan lelaki,
Jangan tergelak wanita diperli,
Keluarga kita tak terkecuali,
Terutama sekali anak dan bini.

Sudahkah kita tanamkan iman,
Menutup aurat sepanjang badan,
Ke sana sini dilindungi Tuhan,
Keluarga menjadi contoh teladan.

Setakat ini seloka kami,
Harap dapat menghibur hati,
Apa yang baik hendaklah ikuti,
Kalau boleh besok amali

Pakai tudung tapi bertelanjang
Itulah gaya orang sekarang
Mana tidaknya, ukuran body semua terang-terang
Yang mana kendur yang mana tegang

Baju nipis nampak bayang
Peha gebu saja ditayang
Lebih baik tak pakai baju senang
Dah tentu boleh tunjuk terang-terang

Baju ketat seluar sendat
Pakai tudung just ikat-ikat
Dari mula memang bukan adat
Disudut agama pun gaya tak berkat

Tudung jarang baju nipis
Pakai sikit boleh nampak 'garis'
Mata orang terbeliak, kita membengis
Bila kena kutuk, kenapa menangis

Lengan pendek blaus gantung
Jeans ketat melekat dipunggung
Jadi orang Islam ni sebenarnya beruntung
Agama tak suruh berbungkus macam pocong

Apa rasanya, kepala bertudung, kain terbelah
Kalau takat rambut orang kurang ghairah
Lain kalau peha gebu atau ternampak lurah
Mata yang memandang boleh keluar darah

Kebaya ketat, kain terbelah
Ikat tudung macam tak sudah
Nak ikut suruhan agama memang tak mudah
Tapi Islam sebenarnya indah

Tutup aurat bukan suruh berselubung
Sampai tak nampak muka dan hidung
Yang faham tuntutan amat beruntung
Taklah bersungut mulut pun muncung

Dah kalau mula minat nak bertudung
Cubalah sesuaikan apa yang disarung
Kalau masih rasa jiwa tu 'mendung'
Maknanya nafsu tu belum dapat dibendung

Bertudung itu bukan satu paksaan
Ianya lebih kepada keinsafan
Selalunya nafsu masih dikuasai syaitan
Itu la pasal fesyen pun yang bukan-bukan

Asal menutup aurat itu tuntutan
Kalau dianggap susah, tu sebab bosan
Yang ye nya hati tak berkenan
Tu yang berjela-jela mencipta alasan

Menutup aurat satu syariat
Kepada agama kita taat
Hidup berkat pahala berlipat-lipat
Didunia selamat, di akhirat hebat

Dalam tiap perbuatan, kita mulakan dengan niat
Gitu juga bertudung, janganlah konon nak tunjuk taat
Alamat pahala lebur, dosa bertingkat-tingkat
Mentelah pula berfesyen tak kena tempat

Baik tak bertudung kalau hanya nak rosak imej
Walhal Islam suruh pakai yang sopan dan manis
Dah kalau takat pakaian ngalahkan pengemis
Atas tutup, bawah buka, ni apa punya jenis?

Kita memang hidup dalam era serba maju
Sungguhlah iman tak dinilai just ikut baju
Kalau bertudung tapi pakai yang 'gitu-gitu'
Kita pun susah kenal, manusia ke hantu

Banyak salah faham bila mula bertudung
Maknanya no fesyen-fesyen only the baju kurung
No more pant suit, kebaya or kebarung
Dah kalau gitu lebih baik duduk berkurung

Bertudung bergaya biarlah yang sempurna
Tak jadi bahan kutuk, jangan pula menambah dosa
Pun tak usahlah juga terlebih gaya
Islam itu suka yang sederhana

Kenalah pula kita wanita bekerjaya
Fesyen busana muslimah yang paling kena
Kalau rasa nak letak kaler, tu yang paling asas je


Friday, June 19, 2009

TUTUPLAH AURAT DENGAN SEMPURNA




















Hukum menutup aurat dengan sempurna bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib.

Ramai wanita yang memakai tudung kerana terikut-ikut dengan suasana. Mereka melihat orang disekeliling mereka, adik beradik, teman sekolah, teman sekerja telah ramai memakai tudung, maka timbul rasa malu kerana mereka sahaja yang masih tidak bertudung. Ataupun kerana baru balik menunaikan haji atau umrah, lantaran itu mereka mengambil keputusan untuk memakai tudung kerana takut dikata orang, walaupun hati tidak berapa menyetujuinya.

Firman Allah lagi yang bermaksud: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Ahzab, ayat 59).

Dalam ayat di atas, Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

Apapun seandainya kita seseorang yang bertudung perlu ingat biarlah serba serbinya mesti melambangkan insan yang bertudung. Amat menyedihkan, kalau dahulu wanita bertudung tidak akan ditemui berdua-duaan di dalam kereta, di taman-taman bunga, di tempat- tempat hiburan, berpegangan tangan dengan teman lelaki, dipanggung wayang atau kalau dahulu wanita bertudung bersih mukanya daripada calaran alat-alat make up melampau, tetapi kini dengan mudah kita boleh jumpa wanita bertudung berpeleseran dengan teman lelaki di tempat-tempat sedemikian.

Kadang-kadang pakai tudung pun tidak sempurna mengikut syariat. Jangan memakai tudung hanya ingin mengikut fesyen semata-mata. Memakai tudung berwarna warni mengikut fesyen sesuai dengan aliran zaman dan fesyen baju. Kadang-kadang macam nak terlondeh, antara hendak tutup dan hendak buka. Wanita yg berniat untuk menutup aurat dengan tudung tetapi tudungnya berfesyen sehingga menarik lelaki memandangnya, atau pun tudung yang dipakainya tidak memenuhi syarat menutup aurat yakni bertudung tetapi masih nampak pangkal leher, bermakna dia belum lagi sempurna menutup aurat, malah semakin berdosa kalau dengan memakai tudung yang berfesyen itu menyebabkan lelaki jatuh hati. Dikala itu tudung bukan menjadi alat menutup aurat, tetapi menjadi alat untuk berhias. Kita bukan mendapat pahala dengan menutup aurat tetapi mendapat dosa.

Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:

Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan

Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).

Allah berfirman yang bermaksud:
Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. (Surah al-Nur, ayat 31)

Firman Allah lagi yang bermaksud:
Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Ahzab, ayat 59).

Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

Pakaian yang longgar

Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.

Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud:
Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain qubtiyyah (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu. Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: Dan suruhlah isterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya).

Menurut Ibn Rusyd,
qubtiyyah ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

Pakaian yang tidak jarang

Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan:
Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya.

Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.

Bukan pakaian yang menarik perhatian

Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.

Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud:
Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka.

Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir

Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas:
Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.

Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.

Tidak bertabarruj

Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.

Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud:
Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama). (Surah al-Ahzab, ayat 33)

Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.

Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada। Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya ilmu Islam sebenar.




“Pakaian terindah bagi kaum mukmin adalah taqwa, sedangkan pakaian ternikmat adalah iman.”


Thursday, June 18, 2009

FAKTOR YG MEMUDAHKAN QIAMULLAIL








Faktor yang memudahkan seseorang itu boleh bangun untuk berqiyamullail

Menurut Syeikh Muhammad Solih al-Munajjid, terdapat beberapa faktor penting yang dilihat boleh membantu umat Islam untuk bangun bagi melakukan solat di tengah malam seperti di bawah ini:

1. Ikhlas kepada Allah dalam setiap tindakan yang dilakukan bagi meraih keredaan-Nya, iaitu melakukan solat malam dengan merahsiakannya daripada pengetahuan orang ramai, ia bertujuan supaya tidak ada rasa riak dalam diri.

2. Hendaklah bagi orang yang melakukan solat malam itu mempunyai perasaan dalaman, bahawa Allah SWT menjemputnya untuk bangun di tengah malam.

3. Mengetahui sedalam-dalamnya ilmu mengenai kelebihan bangun di tengah malam berdasarkan pengajian dan perbincangan.

4. Memerhati kepada kesungguhan individu-individu terdahulu daripada kita yang istiqamah dan iltizam melakukan qiyamullail khususnya para solihin di kalngan para sahabat dan ulama.

5. Tidur di atas lambung sebelah kanan akan memudahkan seseorang itu boleh bangun di tengah malam seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

6. Tidur dalam keadaan berwuduk seperti ditegaskan oleh Rasulullah; "Apabila anda hendak masuk tidur, berwuduklah seperti untuk menunaikan solat." Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada al-Barra Bin Azib.

7. Bersegera masuk tidur (tidur di awal waktu) terutama lepas solat Isyak seperti amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

8. Berzikir dengan wirid-wirid yang Ma'thur seperti Ma'thurat sebelum tidur, kerana ia menjadi benteng diri daripada kejahatan Syaitan dan membantu untuk mudah bangun, atau ayat-ayat pilihan dari al-Quran, baca doa tidur, membaca tiga Qul dan sebagainya.

9. Seboleh-bolehnya tidur sebentar di siang hari yang dikenali sebagai 'Qailulah', iaitu sebelum masuk waktu Zohor atau selepasnya, ala kadar setengah jam.

10. Elak daripada banyak makan dan minum, kerana ia boleh membantutkan hasrat untuk bangun di tengah malam.

11. Bertekad sedaya upaya untuk bangun malam dalam apa jua keadaan.

12. Menjauhkan dosa dan maksiat, kerana ia dikenal-pasti sebagai penghalang pertama dan utama dari mudah untuk bangun di tengah malam.

13. Membuat perhitungan diri (muhasabah) jika tidak mampu untuk bangun di tengah malam.

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekelian!

Qiyamullail adalah ibadat yang menghubungkan hati kita dengan Allah selain ia adalah sunnah muakkadah yang sangat dianjurkan oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda : "Hendaklah kamu lakukan solat di tengah malam, sesungguhnya ia merupakan kebiasaan kepada orang-orang soleh sebelum kamu, ia boleh mendekatkan kamu kepada Tuhan kamu, ia juga penghapus segala dosa, penghalang daripada terjebak kepada maksiat dan dosa dan penawar kepada penyakit yang ada di tubuh." Hadis riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi. - mks.


Tuesday, June 16, 2009

Kelebihan Menuntut Ilmu








Rasullullah pernah bersabda "Tuntutlah ilmu walau ke negeri China". Sebagai umat Islam kita disarankan agar menuntut ilmu iaitu ilmu keduniaan dan ilmu akhirat, agar kita dapat menjalani hidup dan melakukan amal ibadat dengan lebih sempurna. Adalah menjadi kefarduan kepada kita menuntut ilmu untuk memperbetulkan ibadat kita. Solat sunat 2 rakaat seorang yang berilmu adalah lebih baik berbanding mereka yang beribadat bertahun-tahun tanpa ilmu. Demikianlah pentingnya ilmu di dalam ibadat kita.


Maksud Potongan Hadis

· Allah memudahkan jalan ke syurga bagi mereka yang menuntut ilmu

· Para malaikat bersama mereka yang menuntut ilmu kerana reda dengan mereka

· Semua makhluk di langit, bumi dan air memohon keampunan Allah untuk mereka yang menuntut ilmu

· Para nabi tidak meninggalkan harta walau sedikit kecuali ilmu


Kewajipan Menuntut Ilmu

Kategori ilmu yang wajib dipelajari

· Fardu Ain

Wajib dipelajari (Akidah, syariah, akhlak)

· Fardu Kifayah

Perlu dipelajari untuk memenuhi keperluan diri, masyarakat dan negara (perubatan, perniagaan, teknologi)

Ilmu sihir diharamkan untuk dipelajari


Kelebihan Menuntut Ilmu

· Allah memudahkan jalan ke syurga

· Malaikat bersama mereka yang menuntut ilmu

· Semua makhluk memohon keampunan untuk mereka

· Bagaikan bulan menyinari alam


Kedudukan Orang Berilmu di Sisi Allah

· Ditingkatkan darjat di dunia dan akhirat

· Hamba yang takut kepada Allah

· Hatinya hidup dalam cahaya hikmah

· Pahala yang berterusan


Kedudukan Orang yang Tidak Berilmu

· Jahil dan malas

· Membinasakan diri

· Kemungkaran berlaku dengan berleluasa

· Pengangguran dan peleseran


Berilmu dan Berjihad

Pengajaran Hadis

· Dituntut pelajari ilmu

· Allah memudahkan jalan ke syurga bagi mereka yang mati ketika menuntut ilmu

· Allah dan rasul beri kelebihan kepada mereka yang menuntut ilmu

· Allah beri pahala orang menuntut ilmu sama seperti orang berjihad di jalan Allah



Sunday, June 14, 2009

Baki Usia Yang Sia-sia


Sikap kita yang tidak sewajarnya dalam kehidupan ini ialah menangguhkan taubat kepada Allah s.w.t.

Bukannya kita tidak tahu bahawa perintah bertaubat dari Allah itu wajib ke atas kita. Namun bahasa kita tetap juga: "Nantilah… tunggulah… sampai masanya nanti aku taubatlah." Inilah bahasa dan sikap yang cukup berbahaya bagi orang yang sedar dirinya banyak bergelumang dengan maksiat dan dosa.

Dalam pada kita mengatakan "nanti aku taubatlah", tanpa sedar akhirnya kita tidak juga sungguh-sungguh bertaubat. Benarlah kata ahli makrifah: "Ungkapan ‘nanti’ tidak lain adalah salah satu dari tentera syaitan."

Kita dalam hal ini tidak ubah macam orang yang mahu mencabut sebatang pokok. Apabila melihat pokok tersebut besar dan tidak boleh dicabut melainkan dengan susah payah, dia berkata: "Aku akan biarkan ia selama setahun, nanti aku akan kembali mencabutnya." Sebelumnya dia tahu bahawa pokok tersebut jika dibiarkan, akan bertambah teguh sedangkan umurnya semakin lanjut dan tenaganya semakin lemah. Jika semasa dia kuat, dia tidak dapat menghapuskan sesuatu yang lemah, bagaimana mungkin semasa dia sudah lemah dia dapat menghapuskan sesuatu yang sudah kuat?

Inilah sebuah kebodohan dan kedunguan seorang hamba yang hakikatnya sangat memerlukan keampunan dan kasih sayang Tuhannya.

Ibnu Abbas r.a. berkata: "Bersegera bertaubat dari segala dosa itu adalah kefarduan yang mesti disegerakan. Tidak harus melambatkannya. Jika dilambatkan, ia dikira berdosa kerana menangguhkannya. Jika ia bertaubat pun dari dosa tersebut, dia masih mempunyai satu taubat lagi iaitu taubat kerana melambatkan taubatnya. Jarang sekali perkara ini difikirkan oleh orang yang bertaubat. Sebaliknya jika seseorang bertaubat dari dosa, dia menyangka dia sudah tidak perlu lagi bertaubat sedangkan dia masih berhutang satu lagi taubat iaitu bertaubat kerana dosa melambat-lambatkan taubat."

Ramai orang sebenarnya berada dalam keadaan ini. Suka menangguhkan taubat sehinggalah sampai waktu tertutupnya pintu taubat untuknya. Saat itu, tiada pilihan lagi selain bertaubat dalam keadaan terpaksa sebagaimana taubat Firaun yang karam dalam lautan. Apa kata Firaun? Katanya: "Aku percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai kaum Bani Israil dan aku termasuk di kalangan mereka yang beriman." Namun dia tidak bernasib baik kerana Allah telah menolak ‘taubat terpaksa’ tersebut. Firman Allah s.w.t.: "Adakah sekarang (baru kamu percaya) padahal sesungguhnya kamu sudah derhaka sejak dahulu dan kamu termasuk di kalangan orang-orang yang melakukan kerosakan." (Yunus: 91)

Maka soalnya sekarang, kita tidak boleh melambat-lambatkan taubat kita. Bahaya yang menanti kita sebelum mati yang datang tiba-tiba ialah kesan dosa pada hati. Amat dibimbangi bahawa kesan-kesan dosa itu nanti akan meliputi hati kita satu persatu hingga hitam legamlah hati kita. Kepalsuan dan kebatilan akan diterima sebagai kebenaran. Kala itu terlindunglah kita dari nur Allah s.w.t. Tiada manfaatnya lagi sedikit baki usia yang ada.


PETUA IMAM SYAFIE




4 PERKARA UNTUK SIHAT

Empat perkara menguatkan badan
1. Makan daging
2. Memakai haruman
3. Kerap mandi
4. Berpakaian dari kapas


Empat perkara melemahkan badan
1. Banyak bersetubuh
2. Selalu cemas
3. Banyak minum air ketika makan
4. Banyak makan bahan yang masam


Empat perkara menajamkan mata
1. Duduk mengadap kiblat
2. Bercelak sebelum tidur
3. Memandang yang hijau
4. Berpakaian bersih


Empat perkara merosakan mata
1. Memandang najis
2. Melihat orang dibunuh
3. Melihat kemaluan
4. Membelakangi kiblat


Empat perkara menajamkan fikiran
1. Tidak banyak berbual kosong
2. Rajin bersugi (gosok gigi)
3. Bercakap dengan orang soleh
4. bergaul dengan para ulama


4 CARA TIDUR
1. TIDUR PARA NABI Tidur terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit dan bumi.
2. TIDUR PARA ULAMA' & AHLI IBADAH Miring ke sebelah kanan untuk memudahkan terjaga untuk solat malam.
3. TIDUR PARA RAJA YANG HALOBA Miring ke sebelah kiri untuk mencernakan makanan yang banyak dimakan.
4. TIDUR SYAITAN Menelungkup/tiarap seperti tidurnya ahli neraka.




Friday, June 12, 2009

Kelebihan solat dua rakaat


SELEPAS mencipta Jibrail dengan bentuk yang cantik, Allah mencipta baginya 200 sayap yang setiap satunya antara timur dan barat (ada pendapat menyatakan 124,000 sayap).

Selepas Jibrail memandang dirinya sendiri, dia berkata: Wahai Tuhanku, adakah Engkau mencipta makhluk yang lebih baik daripadaku?"


Lalu Allah berfirman yang maksudnya: "Tidak". Kemudian Jibrail berdiri dan solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Selepas selesai bersolat, maka Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai Jibrail, kamu menyembah Aku dengan ibadat yang bersungguh-sungguh dan tiada seorang pun yang menyembah kepada-Ku seperti ibadat kamu. Akan tetapi, di akhir zaman nanti akan datang seorang Nabi yang mulia yang paling Aku cintai, namanya Muhammad dan dia mempunyai umat yang sentiasa berdosa. Jika mereka mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar itu dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kekurangan, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar, maka Kami demi kemuliaan-Ku dan ketinggian-Ku, sesungguhnya solat mereka itu Aku lebih sukai dari solatmu itu kerana mereka mengerjakan solat atas perintah-Ku sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu.”

Kemudian, Jibrail berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?"

Lalu Allah berfirman yang bermaksud: "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'wa sebagai tempat tinggal". Kemudian, Jibrail meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'wa.

Sesungguhnya Allah menyembunyikan enam perkara iaitu:

* Allah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.

* Allah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.

* Allah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam al-Quran.

* Allah menyembunyikan lailatul qadar di bulan Ramadan.

* Allah menyembunyikan solat paling utama di dalam solat (lima waktu).

* Allah menyembunyikan (tarikh terjadinya) kiamat di dalam semua hari.