Sabda RasulAllah saw : Ada dua kalimat yang ringan di lidah namun sangat berat timbanganya di neraca Allah.
سبحان الله و بحمده ... سبحان الله العظيم

"Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, sebaik-baik amalku pada penamatnya dan sebaik-baik hariku, ialah hari ketika aku bertemu denganMu, Ya Allah..."

Saturday, June 6, 2009

Jadikan Anak Pusaka Peninggalan



Seorang ibu dan ayah itu perlu menjadikan anak-anak sebagai pusaka peninggalan yang akan memberi manfaat kepada mereka setelah mereka meninggal dunia. “Jika anak itu anak yang soleh maka dia ada keupayaan untuk memberi bantuan kepada ibu bapanya yang telah meninggal dunia,” demikian kata Ustaz Roslan Mohamed, pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Sehubungan dengan itu, katanya, kita dianjurkan berdoa, antara lain, “Ya Allah, jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang bertakwa.”

“Maknanya, anak tadi perlu menjadi warisan atau pusaka. Anak yang soleh itu warisan. Kalau dulu si ibu dan si ayah mungkin orang yang kuat agama, insya-Allah dengan kesolehan anak, ia boleh beri kelebihan pada emak dan ayah yang telah meninggal dunia.”

Menurutnya, umat Islam tidak boleh memandang ringan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah yang berterusan, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Bukhari)

Untuk itu, mahu tak mahu, anak-anak perlu dididik agar menjadi soleh agar dapat membantu kita di alam barzakh kelak.

“Kita selalu berfikir kalau hendak tinggalkan anak, anak nak makan apa, bimbang kalau anak tak ada harta, tak ada rumah nak duduk. Tapi tak ramai yang berfikir, apakah ilmu yang aku dah tinggalkan pada anak-anak, apakah agama yang aku dah tinggalkan, apa batas agama yang anak aku tahu, apa nilai-nilai Islam yang aku dah didik. Jarang yang berfikir begini, sebaliknya hanya fikir tentang masalah fizikal dunia saja,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, bukanlah bermakna harta tidak penting dalam kehidupan, tetapi ada yang lebih penting.

“Dalam Islam ada kaedah, mendahulukan yang lebih penting daripada yang penting. Ada benda yang penting, tapi yang lebih penting itu kita dahulukan. Misalnya, makan penting tapi makan sesuatu yang halal itu lebih penting. Kalau kita letakkan makan itu penting tapi kita tak peduli yang lebih penting iaitu soal hukum, payah.

”Beliau memetik kata-kata seorang Sahabat besar bahawa ilmu yang dimiliki itu akan menjaga kita, sedangkan harta pula, kita yang perlu menjaganya.

“Dalam konteks anak-anak, kalau anak-anak ditinggalkan dengan ilmu, jangan bimbang, dia boleh berdikari, boleh hidup. Tapi kalau ditinggalkan harta semata-mata, belum tentu anak itu boleh hidup. Kita tinggalkan anak dengan 20 ekar tanah sebagai contoh, kalau ilmu tak ada, dalam masa dua tahun, habis. Dengan rumah-rumah sekali terjual. Tapi kalau anak itu ditinggalkan dengan ilmu, insya-Allah.”

Masalahnya, kata beliau, ramai ibu bapa yang lebih memikirkan soal harta mengatasi soal ilmu. Sedangkan anak yang telah diberi ilmu secukupnya hingga menjadi soleh, dia akan tahu mencari harta dan rezeki sebab sudah berilmu. Seterusnya mampu membina kehidupan yang sejahtera dan dapat pula memberi kesejahteraan kepada ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

(2) Ukuran ‘Soleh’ Di Usia Tadika?

Sekarang ramai ibu bapa menghantar anak mendapat didikan agama sejak kecil. Ini satu perkembangan yang bagus. Bagaimanapun, kata Us. Roslan Mohamed, masih ada di kalangan ibu bapa yang beranggapan bahawa cukup dengan sedikit didikan agama yang diterimanya di sekolah tadika sewaktu kecil untuk membolehkan anak itu menjadi anak yang soleh.

“Ibu bapa kadang-kadang masih tak faham. Mereka mahu anak jadi soleh tapi kesolehan anak itu hanya di sekolah, sedangkan di rumah tak diberi didikan yang cukup. Anak hanya tau baca doa di sekolah, masa makan dengan cikgu, tapi di rumah, ada tak baca doa tadi? Sampai satu tahap, anak tak soleh juga akhirnya.

“Jadi di mana tahap kesolehan itu? Adakah hanya pada tahap umur lima, enam tahun? Cukupkah itu untuk melayakkan dia jadi soleh?” soal beliau.

Us. Roslan berkata, kesolehan anak yang telah disemai di peringkat usia tadika tadi mesti dipupuk secara berterusan, bukan terputus di tengah jalan sebaik-baik memasuki darjah satu dan seterusnya.

“Soleh yang dimaksudkan dalam hadis bukan setakat umur lima, enam tahun. Soleh tu di peringkat umur yang sudah mukallaf. Sudah baligh. Sudah bermulanya kewajipan beribadah. Di situlah tahap bermula kesolehan dan diterimanya doa,” jelas beliau.

(3) Jalan Keluar Buat Pasangan Tiada Anak

Sebut pasal anak sebagai saham akhirat, bagaimana dengan pasangan yang tak ada anak tetapi hanya ada anak angkat? Sampaikah doa anak angkat yang soleh untuk ibu bapa angkatnya yang telah meninggal dunia?

Menurut Ustaz Roslan, doa seorang anak angkat juga didengar oleh Allah. “Islam ini adil,” katanya sambil memberi contoh Nabi s.a.w. sendiri yang merupakan anak yatim dan dipelihara sebagai anak angkat oleh datuknya Abdul Mutalib dan kemudian bapa saudaranya Abu Talib.

“Ada beberapa keadaan, Nabi s.a.w. sentiasa mendoakan bapa saudaranya dan datuknya. Banyak mendoakan mereka. Antaranya, doa Nabi untuk bapa saudaranya agar menerima Islam, mendapat hidayah dan kemuncak dari itu adalah ketika Abu Talib hendak mati, baginda meminta Abu Talib terima Islam tetapi Abu Talib enggan dan tetap mati dalam keadaan kufur.

“Kita lihat di sini, Nabi bukan anak kandung Abu Talib tapi anak saudaranya. Tetapi dalam konteks ini didapati bahawa ada hak bagi seorang anak yang bukan berbinkan ayah angkatnya, untuk mendoakan orang yang telah memeliharanya. Jadi kita boleh mengambil iktibar bahawa sebagai anak angkat yang dipelihara oleh satu keluarga, kesolehan dan doanya tetap sampai kepada ibu ayah yang memeliharanya.

”Apatah lagi, tambahnya, jika ibu bapa angkat itu memang mendidik anak angkatnya untuk jadi anak yang soleh. Menurutnya, mengambil anak angkat itu sendiri, Islam tak larang kerana ia satu bantuan kemanusiaan. Anak itu mungkin anak yatim, kematian ayah dan ibu, jadi dengan adanya orang yang memeliharanya maka terbela hidupnya dan terbela agamanya, insya-Allah.

“Dalam keadaan begitu, kalau anak itu seorang anak yang soleh, walaupun ayahnya ayah angkat, tapi kesolehannya tadi akan sampai kepada ayah angkatnya yang telah mati,” ujar beliau sambil mengiaskannya dengan doa yang terdapat di dalam hadis dan menjadi rukun khutbah, iaitu permohonan ampun untuk sekalian orang Islam dan orang mukmin.

“Apabila kita baca doa ini, mungkin termasuk emak ayah kita, keluarga kita, rakan taulan kita, orang yang kita kenal dan tak kenal. Kenapa kita diminta berdoa begitu? Sebab, kesolehan kita boleh memberi manfaat kepada orang lain, apatah lagi kalau emak ayah kita sendiri (termasuklah ibu bapa angkat). Di sini cantiknya Islam.”

(4) “Sampaikah doa anakku?”

Bagaimana halnya dengan ibu bapa kandung yang anak-anaknya telah diserahkan ke dalam jagaan orang lain sejak kecil, adakah doa dan kesolehan anak-anaknya itu sampai pahalanya kepada mereka apabila mereka telah meninggal dunia?

“Dalam hukum agama, tetap sampai,” jelas Us. Roslan Mohamed.

Bermakna, anak yang soleh itu masih tetap menjadi pusaka peninggalan walaupun telah diserah ke dalam jagaan orang lain. Katanya, walaupun si anak tadi umpamanya telah terputus hubungan dengan keluarga kandung, tinggal berjauhan atau mungkin telah berjauh hati, tapi sampai satu saat dia ingat balik pada emak yang telah melahirkan dia.

“Mungkin si emak telah meninggal tapi dia teringat balik sejarah hidup emak yang telah melahirkannya dan keinsafan tu datang, lalu dia mendoakannya, minta Allah permudahkan ke syurga, minta keampunan untuknya. Sampai. Ini disepakati oleh ulama.”

Katanya, Abdullah Nashih Ulwan dalam kitabnya Pendidikan Anak-anak Di Dalam Islam (terjemahan) menyebut bahawa setiap doa yang dilafazkan dalam keadaan ikhlas, dengan hati yang ikhlas maka doa itu akan sampai, tidak kira pada siapa. Hatta doa kepada orang yang kita tak kenal.

“Tapi tidaklah sekuat doa seorang anak kepada ibu bapanya,” ujarnya.
-Anis



No comments: