Sabda RasulAllah saw : Ada dua kalimat yang ringan di lidah namun sangat berat timbanganya di neraca Allah.
سبحان الله و بحمده ... سبحان الله العظيم

"Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, sebaik-baik amalku pada penamatnya dan sebaik-baik hariku, ialah hari ketika aku bertemu denganMu, Ya Allah..."

Sunday, June 14, 2009

Baki Usia Yang Sia-sia


Sikap kita yang tidak sewajarnya dalam kehidupan ini ialah menangguhkan taubat kepada Allah s.w.t.

Bukannya kita tidak tahu bahawa perintah bertaubat dari Allah itu wajib ke atas kita. Namun bahasa kita tetap juga: "Nantilah… tunggulah… sampai masanya nanti aku taubatlah." Inilah bahasa dan sikap yang cukup berbahaya bagi orang yang sedar dirinya banyak bergelumang dengan maksiat dan dosa.

Dalam pada kita mengatakan "nanti aku taubatlah", tanpa sedar akhirnya kita tidak juga sungguh-sungguh bertaubat. Benarlah kata ahli makrifah: "Ungkapan ‘nanti’ tidak lain adalah salah satu dari tentera syaitan."

Kita dalam hal ini tidak ubah macam orang yang mahu mencabut sebatang pokok. Apabila melihat pokok tersebut besar dan tidak boleh dicabut melainkan dengan susah payah, dia berkata: "Aku akan biarkan ia selama setahun, nanti aku akan kembali mencabutnya." Sebelumnya dia tahu bahawa pokok tersebut jika dibiarkan, akan bertambah teguh sedangkan umurnya semakin lanjut dan tenaganya semakin lemah. Jika semasa dia kuat, dia tidak dapat menghapuskan sesuatu yang lemah, bagaimana mungkin semasa dia sudah lemah dia dapat menghapuskan sesuatu yang sudah kuat?

Inilah sebuah kebodohan dan kedunguan seorang hamba yang hakikatnya sangat memerlukan keampunan dan kasih sayang Tuhannya.

Ibnu Abbas r.a. berkata: "Bersegera bertaubat dari segala dosa itu adalah kefarduan yang mesti disegerakan. Tidak harus melambatkannya. Jika dilambatkan, ia dikira berdosa kerana menangguhkannya. Jika ia bertaubat pun dari dosa tersebut, dia masih mempunyai satu taubat lagi iaitu taubat kerana melambatkan taubatnya. Jarang sekali perkara ini difikirkan oleh orang yang bertaubat. Sebaliknya jika seseorang bertaubat dari dosa, dia menyangka dia sudah tidak perlu lagi bertaubat sedangkan dia masih berhutang satu lagi taubat iaitu bertaubat kerana dosa melambat-lambatkan taubat."

Ramai orang sebenarnya berada dalam keadaan ini. Suka menangguhkan taubat sehinggalah sampai waktu tertutupnya pintu taubat untuknya. Saat itu, tiada pilihan lagi selain bertaubat dalam keadaan terpaksa sebagaimana taubat Firaun yang karam dalam lautan. Apa kata Firaun? Katanya: "Aku percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai kaum Bani Israil dan aku termasuk di kalangan mereka yang beriman." Namun dia tidak bernasib baik kerana Allah telah menolak ‘taubat terpaksa’ tersebut. Firman Allah s.w.t.: "Adakah sekarang (baru kamu percaya) padahal sesungguhnya kamu sudah derhaka sejak dahulu dan kamu termasuk di kalangan orang-orang yang melakukan kerosakan." (Yunus: 91)

Maka soalnya sekarang, kita tidak boleh melambat-lambatkan taubat kita. Bahaya yang menanti kita sebelum mati yang datang tiba-tiba ialah kesan dosa pada hati. Amat dibimbangi bahawa kesan-kesan dosa itu nanti akan meliputi hati kita satu persatu hingga hitam legamlah hati kita. Kepalsuan dan kebatilan akan diterima sebagai kebenaran. Kala itu terlindunglah kita dari nur Allah s.w.t. Tiada manfaatnya lagi sedikit baki usia yang ada.


2 comments:

Leenoh said...

Salam.
Laman blog yang menarik dan membawa visi dunia dan akhirat. Serampang dua mata yang mampu memancing kebahagiaan dunia dan akhirat.
Menjadi kewajipan saya untuk memberi dorongan supaya anda terus menulis dan beristiqamah denganya.

INSAN KERDIL said...

Wslm, insyallah, TQ...