Sabda RasulAllah saw : Ada dua kalimat yang ringan di lidah namun sangat berat timbanganya di neraca Allah.
سبحان الله و بحمده ... سبحان الله العظيم

"Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, sebaik-baik amalku pada penamatnya dan sebaik-baik hariku, ialah hari ketika aku bertemu denganMu, Ya Allah..."

Friday, August 21, 2009

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN

TABIR Sya’ban hampir berlabuh, tirai Ramadan akan menyingsing bersama keberkatan yang dijanjikan melimpah ruah. Ramadhan yang datang dengan tawaran mega daripada Allah swt, yang terbuka sepanjang bulan. Di mana amal ibadah diberi ganjaran pahala gandaan, lebih-lebih lagi 10 malam terakhir Ramadhan yang terdapat malam Lailatul Qadar. Tawaran ini membuktikan Allah menyayangi kita dan mahu kita mendekatkan diri kepadaNya, untuk mendapat perlindungan, keampunan dan kerahmatan daripadaNya. Mengingati kita dan mahu kita mengingatiNya. Peluang untuk kita membersihkan diri daripada dosa dan noda sebagai bekalan untuk kembali kepadaNya. Mungkin ini Ramadan terakhir buat kita. Amat rugilah kalau peluang ini tidak kita rebut, yang hanya datang setahun sekali.

Sabda Rasulullah saw:

Sekiranya umatku mengetahui kebaikan yang ada di dalam bulan Ramadhan nescaya mereka akan menginginkan agar sepanjang tahun adalah Ramadhan.”

Ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An-

Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:

Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan.......

Firman Allah dalam hadits yang disampaikan oleh Nabi :
"Puasa itu untuk-Ku dan Aku langsung membalasnya. Orang yang berpuasa mendapatkan dua kesenangan, yaitu kesenangan ketika berbuka puasa dan kesenangan ketika berjumpa dengan Tuhannya. Sungguh, bau mulut orang berpuasa lebih harum dari pada aroma kesturi." (Hadits Muttafaq 'Alaih).

Dan sabda Nabi :
"Barangsiapa berpuasa Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. " (Hadits Muttafaq 'Alaih).

Imam ghazali dalam Ihya’ Ulumuddain membahagikan peringkat orang yang berpuasa kepada 3 iaitu :

1. Puasa umum

2. Puasa khusus

3. Puasa khususul khusus

Peringkat pertama adalah orang yang berpuasa dengan cara yang paling mudah dan hanya melengkapkan syarat sah sahaja. Mereka hanya mengelak daripada perkara yang membatalkan puasa. Anggota lahir dan batinnya masih tidak dapat dikawal.

Peringkat kedua adalah mereka yang dikenali sebagai al-muflihun ataupun al-faizun. Mereka ini dapat mengawal anggota lahir dan batin dari melakukan perkara yang dikeji oleh Allah. Namun demikian mereka masih tidak dapat melupakan perkara dunia yang halal dan harus daripada hati kecil mereka. Dan ini tidak mendatangkan dosa dan mencacatkan pahala puasa mereka walaupun dianggap dosa bagi golongan ketiga.

Peringkat yang tertinggi ialah golongan muqarrabin yang terlalu hampir dengan Allah. Mereka lupa kepada segala kesenangan dunia yang lebih banyak melalaikan dari mengingati Allah. Kesan puasa mereka jelas kelihatan dengan semakin bertambahnya amal ibadat, semakin pemurah untuk berbelanja di jalan Allah dan sebagainya.

Maka apakah kita yang telah bertahun-tahun berpuasa hanya ingin terus berada pada tahap yang pertama. Apakah kita tidak mahu membebaskan diri kita daripada golongan yang disebutkan oleh Rasulullah :

Berapa ramai orang yang berpuasa sedangkan tidak ada apa yang diperolehi dari puasanya kecuali lapas dan dahaga.

HIKMAH PUASA

Disebutkan Oleh Yusuf Qardhawi Dalam Al-Ibadat Fil Islam Bahawa Antara Hikmah Puasa Ialah:

1. Menguatkan Roh.

2. Menyihatkan Badan.

3. Menyedarkan Tentang Nikmat Allah.

4. Mengingatkan Tentang Kepayahan Orang Miskin.

5. Hasan Basri Berkata - Disuruh Supaya Berlapar Kerana Akan Memakan Jamuan Allah

di Syurga Firdaus di Hari Akhirat.

6. Membetulkan Nafsu Yang Bengkok Dengan Kelaparan.

7. Malaikat Sentiasa Mengadukan Dosa Orang Mukmin Kepada Allah. Di Bulan Ramadhan Allah Berfirman :

Wahai Malaikat, Jika Mereka Mengerjakan Maksiat Di Luar Ramadhan Dan Menanggung Kepayahan Ramadhan Maka Hendaklah Kamu Kembali Dan Mengadu Serta Meminta Syafaat Dan Ampun Bagi Mereka.

8. Sebagaimana Tabib Menyuruh Orang Sakit Berpantang Maka Allah Menyuruh Hamba Yang Sakit Dengan Maksiat Supaya Berpantang.

9. Syaitan Bergerak Ditubuh Manusia Seperti Darah Bergerak, Maka Disumbat Perjalanannya Dengan Menahan Makan Dan Minum.

TERTIB PUASA

Imam Habib Abdullah Haddad Dalam Kitabnya Nasihat Agama Dan Wasiat Iman Menyebut :

1. Memelihara Lidah - Dusta, Mencaci, Mengumpat.

2. Memelihara Mata .

3. Memelihara Telinga.

4. Memelihara Perut - Makanan Haram Dan Syubhat Ketika Berbuka.

5. Memelihara Semua Anggota.

6. Jangan Tidur Terlalu Banyak Di Siang Hari.

7. Jangan Makan Terlalu Banyak Di Malam Hari

Setelah berbuka, hendaknya hati kita antara takut dan harap. Sebab kita tidak tahu apakah puasa kita diterima, sehingga kita termasuk orang-orang yang dekat kepada Allah, ataukah ditolak, sehingga kita termasuk orang-orang yang dimurkai. Hal yang sama hendaknya dilakukan pada setiap selesai melakukan ibadah.

“Ya Allah, Ya Tuhan kami, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, jadikanlah kami termasuk orang yang puasa pada bulan ini, yang pahalanya sempurna, yang mendapatkan Lailatul Qadar, yang mendapat rahmat dan redhaMu”

No comments: