Sabda RasulAllah saw : Ada dua kalimat yang ringan di lidah namun sangat berat timbanganya di neraca Allah.
سبحان الله و بحمده ... سبحان الله العظيم

"Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, sebaik-baik amalku pada penamatnya dan sebaik-baik hariku, ialah hari ketika aku bertemu denganMu, Ya Allah..."

Sunday, December 23, 2012

MUHASABAH...

Jarang sekali kita menilai atau bermuhasabah tentang amal ibadah kita yang paling penting iaitu Solat lima waktu, sudahkah dilaksanakan dengan sempurna?

Solat merupakan ibadah pertama yang akan dihisab pada Hari Kiamat nanti, sebagaimana ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya perkara pertama yang ditanya terhadap seorang hamba pada hari Kiamat dari amal perbuatannya ialah Solatnya. Jika Solatnya baik, maka sungguh beruntung dan berjayalah dia dan jika Solatnya buruk/rosak, maka kecewa dan rugilah dia”... (HR An-Nasa’i dan At-Tirmizi)

Merujuk maksud Hadith Rasulullah SAW ini, bahawa sesungguhnya ibadah Solat adalah tunjang atau tiang bagi seluruh amalan manusia. Kerana itu, ibadat Solat menjadi ibadat dan amal yang pertama-tama akan ditanya...

“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam Solatnya”... (Al Mu’minun, ayat: 1-2)

“…dan dirikanlah Solat, sesungguhnya Solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan”... (Al Ankabut, ayat: 45)

Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Dua rakaat yang dikerjakan oleh hamba pada waktu tengah malam adalah lebih baik baginya dari dunia dan isinya. Dan kalaulah tidak member kesukaran kepada umatku, nescaya aku wajibkan kedua rakaat itu atas mereka.”

Sabda Rasulullah saw lagi yang bermaksud: “Kerjakan solat dua rakaat dalam kegelapan malam untuk kesuraman kubur...”

Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda: Allah akan turun ke langit dunia setiap malam ketika sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: Sesiapa yang berdoa kepadaKu, maka Aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan dariKu maka Aku akan mengampuninya...

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak memandang kepada rupa paras kamu dan harta benda kamu, tetapi sesungguhnya hanya yang dilihat-Nya ialah hati-hati kamu dan amal-amal kamu”... (HR Muslim dan Ibnu Majah)

"Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umur kami pada penghujungnya, sebaik-baik amal kami pada penamatnya dan sebaik-baik hari kami, ialah hari ketika kami bertemu denganMu, Ya Allah..."

1 comment:

JUK DIN said...

salam singgah. sy akan cuba menjaga solat sy sebaik mungkin. jemputlah ke blog sy pula. tq.