Sabda RasulAllah saw : Ada dua kalimat yang ringan di lidah namun sangat berat timbanganya di neraca Allah.
سبحان الله و بحمده ... سبحان الله العظيم

"Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, sebaik-baik amalku pada penamatnya dan sebaik-baik hariku, ialah hari ketika aku bertemu denganMu, Ya Allah..."

Wednesday, March 17, 2010

DOSA HANYA DILUPUS DENGAN 4 CARA

Bersama Dr Juanda Jaya

SESUNGGUHNYA manusia melalui setiap hari dalam hidupnya dengan dua pilihan, iaitu sesaat yang dilalui dengan haruman taat atau sesaat yang dipalit maksiat.

Hitungannya sangat halus, jika dia kehilangan satu detik saja dalam berbakti mungkin kakinya akan terjerumus ke lubang neraka. Begitu juga jika dia terlebih satu detik berharga, satu detik itulah yang menyelamatkannya ke syurga.

Alangkah beruntungnya orang yang memiliki hati selembut kapas, tembus pandangan ke setiap sisi daripada zahir dan batinnya. Melihat, memandang, menilai dan mengukur diri sendiri hingga lupakan aib orang lain.

Al-Qusyairi pernah menulis dalam Risalahnya: “Permulaan orang yang bertaubat ialah kesedaran hatinya dari kelalaian dan dia memandang dirinya buruk lagi hina. Seseorang hanya akan sampai ke tahap ini kerana dua sebab iaitu kuasa Allah SWT yang menunjukinya dan kemahuannya mendengar suara hatinya sendiri. Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dengarlah nasihat Allah di dalam hati setiap Muslim.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Bukankah lebih baik berasa diri kotor dan bersalah daripada mengaku bersih dan tidak sensitif langsung dengan amal perbuatan dilakukan? Adakalanya maksiat itu memberi pengaruh baik bagi diri jika ia dilalui dengan semangat taubat.

Hal ini pernah disebutkan Prof Yusuf al-Qardawi, beliau menukilkan perkataan Ibnu ‘Athaillah dalam kitabnya Al-Taubah Ilaa Allah, beliau berkata: “Boleh jadi Allah sudah membukakan pintu ketaatan kepadamu, tetapi tidak membukakan untukmu pintu penerimaan dan boleh jadi Allah mentakdirkan untukmu berbuat maksiat yang menyebabkan kamu bertaubat dan hampir kepada Allah. Sesungguhnya maksiat yang mencetuskan ketundukan dan membuat hatimu hancur lebih baik daripada ketaatan yang mengakibatkan ketakjuban diri sendiri dan ketakburan.”

Dalam melayari samudera kehidupan, kita memerlukan keteguhan hati. Cubalah memandang segalanya dengan positif. Pujuk hati yang luka dan hilang pertimbangan kerana diasak maksiat. Namun, ramai juga terkorban kerana memandang remeh perkara taubat.

Sesungguhnya dosa hanya dapat dihapuskan dengan empat cara:

Dengan taubat. Firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh dan tetap berada di jalan yang benar.” (Surah Taha, ayat 82)

Melakukan amal salih. Firman Allah Taala yang bermaksud: “Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan melakukan amal salih, maka kejahatan mereka ditukarkan oleh Allah dengan kebaikan. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Furqan, ayat 68-70)

Datangnya musibah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang Muslim yang ditimpa kecelakaan, kemiskinan, kesedihan, sakit mahupun dukacita hatta tertusuk duri sekalipun nescaya Allah akan menebus dosa-dosanya dengan apa yang menimpanya itu.” (Hadis Muttafaqun Alaih)

Dilebur di dalam api neraka. Daripada Abu Zar bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku mengetahui mengenai lelaki yang terakhir keluar dari neraka pada hari kiamat, dikatakan kepadanya: “Bentangkanlah dosa-dosa kecilnya!” Sedangkan dosa besarnya disembunyikan. Kemudian dikatakan kepadanya: Kamu mengerjakan ini pada hari ini dan ini pada hari ini. Dia mengakui tanpa membantah kerana terlalu bimbang dengan dosa besarnya. Lalu dikatakan: Berikanlah kebaikan sebagai pertukaran untuk setiap kejahatan yang dilakukannya. Lalu dia berkata: Aku mempunyai dosa-dosa lain, tetapi tidak dibentangkan di sini. Kata Abu Zar: Aku melihat Rasulullah SAW ketawa hingga nampak gigi geraham baginda.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi, Ibn al-Qayyim menyatakan ia sahih)

Bagaimanakah keadaan orang yang suka mengulang-ulangi maksiat dan taubatnya? Adakah dia akan diampuni oleh Allah Taala? Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang hamba sudah melakukan dosa, lalu dia berdoa: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sudah berdosa, maka ampunilah aku! Maka Tuhannya berfirman: Hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa dan menghukumnya maka Aku mengampuninya. Kemudian dia tetap dalam keadaannya menurut ketentuan Allah. Dia pun melakukan dosa lain lalu berdoa: Ya Tuhanku sesungguhnya aku melakukan dosa lain, ampunilah aku. Tuhannya berfirman: Hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa dan menghukumnya, maka Aku mengampuninya. Kemudian dia tetap dalam keadaannya menurut ketentuan Allah. Dia pun melakukan dosa lain lalu berdoa: Ya Tuhanku sesungguhnya aku melakukan dosa lain, ampunilah aku. Tuhannya berfirman: Hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa dan menghukumnya, maka Aku mengampuninya, hendaklah dia melakukan menurut kehendaknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Al-Qardawi mengulas hadis itu, katanya: “Ungkapan maka hendaklah dia melakukan menurut kehendaknya, makna yang sebenar hanya Allah saja Yang Maha Mengetahuinya. Penafsirannya ialah setiap kali hamba melakukan dosa, dia bertaubat, yang demikian itu menjadi penghapus dosa-dosanya. Ia bukan bermakna sengaja melakukan dosa, rela dan suka bermaksiat dengan tujuan untuk mempermain-mainkan Allah SWT.

Manusia boleh melakukan apa saja sesuka hatinya, Allah tetap Maha Pengampun...

Tetapi adakah kita sanggup mengambil risiko bermain-main dengan rahmat dan ampunanNya jika kita sendiri tidak pasti permainan itu akan berakhir di mana?...

Adakah berakhir dengan husnul khatimah atau suul khatimah?...

Risiko itu tetap ada di atas jalan yang kita tempuhi...

Mati dalam taat atau maksiat?...

Kita sendiri yang memilih...

Beranikah kita mencuri peluang atas rahmat dan maghfirahNya?...



2 comments:

niwa said...

SMGA DPT D JDI KAN PDOMAN BT KTA SMUA.

niwa.nye@blogspot.com said...

salam