Sabda RasulAllah saw : Ada dua kalimat yang ringan di lidah namun sangat berat timbanganya di neraca Allah.
سبحان الله و بحمده ... سبحان الله العظيم

"Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, sebaik-baik amalku pada penamatnya dan sebaik-baik hariku, ialah hari ketika aku bertemu denganMu, Ya Allah..."

Sunday, May 31, 2009

DHUHA TEMPOH BERKAT MULAKAN AKTIVITI KEHIDUPAN

Oleh Ibrahim Abdullah

ALLAH dalam beberapa ayat al-Quran bersumpah dengan waktu Dhuha seperti firman-Nya yang bermaksud: "Demi matahari dan sinar cahayanya di pagi hari (Dhuha)." (Surah as-Syams, ayat 1) Bahkan ada surah khusus dalam al-Quran dengan nama Ad-Dhuha.

Pada pembukaan ayat, Allah berfirman yang bermaksud: "Demi waktu Dhuha." Imam ar-Razzi menerangkan bahawa Allah setiap bersumpah dengan sesuatu itu menunjukkan hal yang agung, hebat dan besar manfaatnya.

Apabila Allah bersumpah dengan waktu Dhuha, bererti waktu Dhuha adalah waktu sangat penting dan mustahak. Antara doa Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ya Allah, berilah keberkatan kepada umatku pada waktu pagi (Dhuha)."

Ini menunjukkan orang yang aktif dan bangun di waktu pagi (waktu Subuh dan Dhuha) untuk beribadat kepada Allah dan mencari nafkah halal, ia akan mendapatkan keberkatan. Sebaliknya, mereka yang terlena dalam mimpi dan tidak sempat solat Subuh pada waktunya, tidak mendapat keberkatan itu.

Abu Zar meriwayatkan hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bagi tiap-tiap anggota tubuh kamu hendaklah dikeluarkan sedekah baginya setiap pagi. Satu kali membaca takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh berbuat baik adalah sedekah, dan mencegah kemungkaran adalah sedekah. Dan semua itu dapat diganti dengan dua rakaat solat Dhuha." (Hadis riwayat Muslim)

Aisyah menceritakan Rasulullah SAW selalu melaksanakan solat Dhuha empat rakaat. Dalam riwayat Ummu Hani yang bermaksud: "Kadang-kadang Rasulullah SAW melaksanakan solat Dhuha sampai lapan rakaat." (Hadis riwayat Muslim)

Imam at-Tirmizi dan Imam at-Tabarani meriwayatkan sebuah hadis yang menjelaskan bahawa apabila seseorang melaksanakan solat Subuh berjemaah di masjid, lalu ia berdiam di tempat solatnya sampai tiba waktu Dhuha, kemudian ia melaksanakan solat Dhuha, ia akan mendapatkan pahala seperti naik haji dan umrah diterima. Ulama hadis menyatakan hadis ini hasan.

Waktu Dhuha adalah waktu yang Allah sebutkan dalam al-Quran dan bersumpah dengannya. Ia tidak disebut dan tidak pula dijadikan sumpah kecuali memiliki hikmah tersirat di sebaliknya. Dhuha mempunyai erti permulaan siang atau awal terbitnya matahari.

Allah menjelaskan bagaimana waktu siang semestinya digunakan untuk mengerjakan aktiviti yang produktif, seperti firman-Nya yang bermaksud: "Dan Kami jadikan waktu siang untuk mencari penghidupan (rezeki)." (Surah an-Naba, ayat 11)

Nabi Muhammad SAW pernah mendoakan orang seperti itu yang bermaksud: "Ya Allah, berikanlah keberkatan kepada umatku pada waktu pagi mereka." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Allah juga menjelaskan bagaimana waktu malam seharusnya digunakan untuk beristirehat. Allah berfirman yang bermaksud: "Dia menyingsingkan waktu pagi dan menjadikan waktu malam untuk beristirahat." (Surah al-An'am, ayat 96)

Begitulah Allah mengarahkan manusia untuk memanfaatkan putaran waktu dengan baik dan tepat. Dalam pada itu Allah mengingatkan manusia tidak terlena dalam aktiviti kerja mereka sepanjang siang dan beristirahat sepanjang malam.

Pada malam hari, Allah membangunkan mereka supaya tidak cuai dalam beristirahat. Firman Allah yang bermaksud: "Dan pada sebahagian waktu malam, kerjakanlah solat tahajud sebagai suatu ibadat tambahan bagimu." (Surah al-Isra', ayat 79)

Kesimpulannya, Allah dan Rasul-Nya mengingatkan apa pun aktiviti dikerjakan manusia sepanjang siang dan malam, seharusnya tidak melupakan ibadat kepada Allah.



IKTIBAR SEBIJI KACANG HIJAU

“Pohon beringin yang besar itu asalnya dari satu biji yang kecil dan burung yang besar terbang di udara itu asalnya dari sebutir telur”

Orang yang tidak berbuat apa-apa boleh berkata apa-apa sahaja. Dia nampak orang berniaga kecil-kecilan, dia kata, “Buat apalah berniaga tepi jalan, bila nak kaya?”

Dia lihat orang berlatih sukan, dia kata, “Setakat jaguh kampung bolehlah.” Dia terserempak dengan orang yang menulis buku, dia kata, “Setakat buku picisan macam ni aku pun boleh buat.”

Hakikatnya dia tidak pernah berbuat apa-apa. Maka itu dia bebas berkata apa-apa sahaja. Jika dia berbuat perkara yang sama, dia akan berfikir banyak kali sebelum memberikan komen. Dia tahu jerih-perihnya untuk membina gerai di tepi jalan, berhadapan dengan cabaran pelanggan dan penguatkuasaan, komennya mungkin bukan bersikap komplen.

Jika dia pernah berlatih untuk memenangi sesuatu pertandingan sukan, dia akan tahu betapa pentingnya sesuatu kemenangan itu, biarpun tarafnya setakat jaguh kampung, ia tetap penting untuk kemenangan-kemenangan yang lebih besar. Dia tidak pernah memiliki kesungguhan seperti itu, maka dia bebas berkata apa-apa sahaja.

Kalau tahu sukar dan sulitnya menulis buku, dia tidak mudah memperlekeh karya orang lain. Sebaris ayat pun tidak pernah dihasilkannya, tentulah dia boleh berkata apa-apa sahaja.

Orang begini pastinya tidak akan ke mana-mana. Dia akan statik pada kedudukannya sebagai pemerhati dan pengkritik. Ramai sungguh orang yang menjadi penganalisa tidak bertauliah. Cakapnya pandai, hujahnya kadang-kadang bernas juga tetapi suatu apa pun tidak pernah terhasil olehnya.

Kena lihat setiap sesuatu yang besar itu bermula daripada sesuatu yang kecil. Setiap yang lahir terus gagah, biasanya tidak bertahan lama. Gedung perniagaan yang gagah di bandar raya asalnya satu perniagaan kecil. Kebanyakan orang kaya asalnya orang biasa. Pemimpin asalnya rakyat biasa. Seekor ayam asalnya sebutir telur. Seekor burung yang terbang tinggi di angkasa asalnya kecil, lemah dan tanpa sayap. Setiap hari ibu burung akan mencarikan makanan untuknya dan memasukkan makanan itu ke dalam mulutnya. Tiada seekor burung pun tiba-tiba lahir dan terus boleh terbang.

Orang yang tidak berbuat apa-apa memang boleh berkata apa-apa sahaja. Bercakap itu mudah maka itu ramai orang melakukannya. Apabila tiba masa untuk berbuat, selalu menyerah sebelum mencuba.

Istimewanya mereka hanya pada, “Eleh, setakat macam tu, aku pun boleh,” namun dia tidak pernah melakukannya.

Itulah pelik dan anehnya sesetengah manusia.

Jika tidak pernah memegang berus cat, mudah saja mengatakan kerja mengecat itu senang dan boleh dilakukan oleh semua orang. Setelah benar-benar mengecat baru tahu sakit dan letihnya.

Menonton perlawanan bola sepak selalu menjadi juara jerit tetapi apabila disuruh bermain ternyata kaki bangku. Menonton orang menyanyi memang mudah mengatakan itu ini, begitu begini, tetapi apabila disuruh menyanyi tidak pula boleh mengotakan apa yang dikata. Memang, orang yang tidak berbuat apa-apa boleh berkata apa-apa.

“Doktor, tolong saya. Sebiji kacang hijau masuk ke telinga saya,” kata seorang pesakit.

“Wah, ini sukar sekali. Perlu teliti mengeluarkannya, kalau tidak dalaman telinga awak boleh cedera.”

“Apa susahnya doktor, sebiji kacang hijau je.”

“Kalau begitu, awak masukkan air ke telinga, tunggu hingga ia tumbuh menjadi taugeh, senanglah awak cabut.”

Orang yang tidak tahu apa-apa memang boleh berkata apa-apa sahaja.


"Berusahalah bersungguh-sungguh dan iringi dengan doa, insyallah kejayaan akan menjadi milik kita"



GOLONGAN DIMAKBULKAN DOA MEREKA

*Orang yang berada dalam kesusahan
“Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti menguasai bumi? Adakah sebarang Tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati.” (an-Naml:62)

*Anak soleh yang taat kepada ibu bapa
Diriwayatkan daripada Umar r.a, bahawa baginda pernah berkata mengenai Uwais bin ‘Amir: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya): “Akan datang kepada kamu Uwais bersama rombongan dari Yaman. Dia pernah ditimpa sopak lalu dia sembuh melainkan satu tempat sebesar wang satu dirham. Dia memiliki ibu yang sangat ditaatinya. Jika dia berdoa pasti Allah S.W.T akan memakbulkan, jika boleh, kamu mintalah kepadanya agar didoakan bagi kamu.” (Riwayat Ahmad)

*Ibu bapa kepada anak dan orang bermusafir
Nabi s.a.w bersabda melalui hadis bermaksud: “Tiga doa yang pasti dimakbulkan Allah iaitu doa seorang bapa (dan ibu), doa orang yang bermusafir dan doa orang yang dizalimi.” (Riwayat Abu Daud)

*Orang yang berpuasa hingga berbuka dan pemimpin yang adil
Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka, iaitu doa seorang yang berpuasa hingga dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi. Doa-doa mereka itu diangkat Allah ke atas awan, lalu dibuka pintu-pintu langit, Allah s.w.t akan berfirman: Demi kemulian-Ku, Aku akan menolongmu...” (Riwayat Tirmidzi)

*Orang dizalimi
Nabi s.a.w bersabda kepada Muaz bin Jabal r.a ketika mengutusnya ke Yaman: “Takutilah kamu doa orang yang dizalimi kerana tiadalah sesuatu penghalang antara doanya itu dengan Allah S.W.T.” (Riwayat al-Bukhari)

*Doa seseorang muslim buat saudaranya tanpa diketahuinya
Umm Darda’ r.a meriwayatkan hadis, bahawa Nabi s.a.w pernah bersabda: “Sesiapa yang berdoa untuk saudaranya di belakangnya (tanpa pengetahuannya), maka malaikat yang diwakilkan kepadanya akan berkata, amin dan bagimu sama dengan apa yang kamu mohonkan itu.”



Saturday, May 30, 2009

TAUBAT YANG SYARATNYA GAGAL DIPENUHI


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Barangsiapa yang beristighfar dengan sebanyak-banyaknya, Allah SWT akan bebaskan mereka daripada sebarang kesusahan, akan mendapat rezeki yang tidak diduga daripada sumber itu serta mendapat jalan penyelesaian daripada sebarang kerunsingan."

Orang yang tidak ditimpa runsing dalam kehidupannya, adalah merupakan suatu nikmat daripada Allah SWT.

Berapa ramai manusia yang memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi tidak sunyi daripada dilanda runsing. Kekadang kehidupan seseorang sederhana sahaja tetapi mereka aman daripada sebarang kerunsingan jiwa dan fikirannya.

Jika berikhtiar menghilangkan kerunsingan dengan bukan jalan Allah SWT, seperti dengan berhibur yang melampau, maka usaha itu seperti menghilangkan gatal dengan menggaru akan hilang gatal sejenak. Dengan menggaru boleh menyebabkan calar berdarah bertukar jadi kudis.

Apabila kuman yang menyebabkan kegatalan aktif semula, maka gatal akan muncul kembali malah lebih parah lagi dengan munculnya kudis akibat luka digaru.

Fadilat beristighfar ialah:

- Allah SWT akan memberi jalan penyelesaian daripada sebarang kesempitan, sama ada kesulitan hidup di dunia berbentuk kebendaan atau pemikiran dan perasaan.

- dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak diduga. Lebih istimewa lagi jika rezeki datang mecurah pada saat amat diperlukan.

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya aku seorang Nabi memohon ampun dosa (istighfar) kepada Allah SWT, setiap hari sebanyak 70 kali."

Meskipun Nabi s.a.w. maksum (dikawal) dosa oleh Allah SWT, namun baginda tetap memohon ampun sebanyak 70 kali saban hari.

Apakah tujuan Nabi s.a.w. mohon ampun kepada Allah SWT dalam keadaan maksum. Tujuannya ialah untuk mentarbiyah umatnya supaya tidak mengabaikan istighfar mohon supaya Tuhan ampuni dosanya.

Jika Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar 70 kali, umatnya sebagai insan biasa yang bergelumang dosa, secara logiknya mestilah mohon ampun kepada Allah SWT setiap hari lebih daripada yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. itu.

Bagi Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar itu bukanlah untuk mohon ampun dosa, tetapi istighfar Nabi s.a.w. ialah mohon ampun daripada perkara yang dikira silap.

Ini kerana amalan baik bagi orang yang jujur (abrar) itu, masih dikira sesuatu yang buruk bagi golongan 'muqorrobin' seperti golongan para nabi itu.

Contohnya, jika melakukan solat fardu didahului dan diiringi dengan solat rawatib, juga mendirikan solat malam tahjud empat rakaat dan tiga rakaat witir, jika boleh kekalkan sudah dikira termasuk golongan 'abrar'.

Tetapi sekadar itu tidak layak bagi golongan para anbiya, ia dikira berdosa bagi golongn muqarrabin jika ibadatnya sekadar itu.

Adapun istighfar yang sering diucapkan oleh Nabi s.a.w. seperti berikut: "Allahummaghfirli ma qaddamtu wama akhkhartu wama asrartu wama a'alantu wama Anta a'alamu bihi minni wa Antal muqaddimu wa Antal muakhkhir wa Anta 'ala kulli syai-in qadir."

Ia bermaksud: Wahai Tuhan, ampunilah dosaku yang terdahulu dan dosa kemudian yang belum dilakukan, dosa yang kulakukan secara sulit tersembunyi dan dosa yang kulakukan secara terbuka, sebanyak mana yang Engkau ketahui. Sesungguhnya atas Engkau Yang Berkuasa penuh atas segala sesuatu."

Seorang ulama bernama Fudhul bin Akhyar berkata mengenai istighfar katanya: "Bahawa minta ampun dalam keadaan tidak menghentikan daripada berbuat dosa itu adalah taubat seorang pendusta."

Apabila seseorang beristighfar bererti dia mohon ampun kepada Allah SWT, apa ertinya dia mohon ampun kalau terus melakukan dosa maksiat.

Sedangkan syarat taubat ialah insaf dan menyesal, bertekad untuk tidak melakukannya lagi. Sangat pembohong bagi seorang yang mohon ampun kepada Tuhan, tetapi tidak berhasrat uantuk meninggalkan dosa dan menyesalinya.

Perbuatan itu umpama orang solat dengan memakai kain yang tercemar dengan najis, setelah dia sedar lalu digantinya dengan kain baru, sayangnya kain baru itu adalah kain curi.

Dia tinggalkan dosa diganti dengan dosa yang lain pula. Apakah ertinya itu jika dia tidak sedar sedang menipu diri sendiri?

Seorang wali besar yang masyhur dalam sejarah Islam, seorang wanita bernama Rabi'ah Al-'Adawiyyah berkata: "Sesungguhnya minta ampun bukan sekadar kerana berdosa, tetapi istighfar kerana kesalahan minta ampun daripada taubat yang tidak memenuhi syarat taubat itu."

Ertinya adalah dianggap satu dosa bagi orang minta ampun (istighfar) dalam keadaan dia tetap melakukan dosa, kerana sepatutnya dia menyesal serta berazam untuk tidak lakukannya lagi.

Beristighfar dalam keadaan demikian bererti dia sedang berdusta, seolah-olah mempermain-main dengan Allah SWT dengan istilah taubat.

Bertaubat dalam suasana demikian lebih buruk daripada melakukan dosa yang sebenar, kerana taubat seperti itu merupakan suatu dosa yang perlu bertaubat semula kerana bertaubat yang menyalahi syarat taubat. Inilah taubat manusia pendusta terhadap Tuhan.


“Ya Allah Engkaulah Tuhan yang Maha Pengampun, ampunilah dosa hambaMu ini”


Friday, May 29, 2009

MAKNA AIR MATA INSAN


Oleh Ustaz Mohd Zawawi Yusoh

PERNAHKAH anda menangis?
Jika menangis, apakah punca dan sebabnya?

Menangis adalah fitrah manusia tetapi sebab tangisan akan memberikan harga dan nilai tersendiri.

Allah yang menciptakan ketawa dan tangis, malah menciptakan sebab tercetusnya tangisan.

Banyak air mata mengalir di dunia ini. Sumbernya dari mata, mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi.

Mata itu kecil namun ia tidak pernah kering. Ia berlaku setiap hari tanpa putus-putus. Seperti sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti! Kalaulah air mata itu terkepung, seperti air hujan, banjirlah dunia ini.

Menurut Ibnul Qayyim ada beberapa jenis tangisan antaranya ialah:

· Menangis kerana kasih sayang dan kelembutan hati.

· Menangis kerana rasa takut.

· Menangis kerana cinta.

· Menangis kerana gembira.

· Menangis kerana menghadapi penderitaan.

· Menangis kerana terlalu sedih.

· Menangis kerana terasa hina dan lemah.

· Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.

· Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.

· Menangis orang munafik - pura-pura menangis.

Ada jenis tangisan nampak biasa sahaja tetapi air mata yang mengalir itu dapat memadamkan api neraka.

Ini disahkan oleh Nabi s.a.w dalam satu hadis, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka.

Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan dikotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidaklah ada sesuatu pun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka.”

Tangisan yang dimaksudkan ialah tangisan kerana takut kepada Allah. Menangis kerana menyesal atas kesalahan dan dosa, malah tangisan takut kepada azab Allah sangat bernilai di sisi-Nya sehingga air mata itu boleh memadamkan api neraka.

Salman al-Farisi r.a berkata, sahabat-sahabatku menangis atas tiga perkara, iaitu:

· Berpisah dengan Rasulullah dan kalangan sahabat.

· Ketakutan seorang yang perkasa ketika melihat malaikat Israil datang mencabut nyawanya.

· Aku tidak tahu sama ada aku akan diperintahkan untuk ke syurga atau neraka.

Ada juga jenis air mata yang tidak bernilai di sisi Allah, malah kadangkala mendapat kemurkaan Allah. Antaranya menangis tengok filem Hindi serta menangis sehingga meratap dan memukul badan, malah merobek pakaian apabila ada kematian.

Tanda air mata rahmat sebagaimana diterangkan Rasulullah s.a.w dalam sabda yang bermaksud: “Jagalah mayat ketika kematiannya dan perhatikanlah tiga perkara, iaitu :

· Apabila dahinya berpeluh.

· Air matanya berlinang.

· Hidungnya keluar cecair.

Simpanlah air mata tangisan itu semua sebagai bekalan untuk menginsafi segala kecuaian yang melanda diri, segala dosa berbentuk bintik hitam yang menggelapkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah s.w.t.


Justeru, serulah air mata itu dari persembunyiannya di sebalik kelopak mata, agar ia menitis, membasahi dan mencuci hati, sehingga ia putih kembali dan semoga ia dapat meleburkan dosa dan mendapat keampunan-Nya.


Thursday, May 28, 2009

Tuntutan wuduk secara sempurna membolehkan solat penuh khusyuk


DARIPADA Nu'aim bin Abdullah katanya, dia melihat Abu Hurairah berwuduk. Dia mencuci muka dan tangannya hingga sampai ke batas bahu. Kemudian dicucinya kedua kakinya hingga sampai ke betis. Sesudah itu dia berkata: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya umatku akan datang kelak pada hari kiamat bercahaya-cahaya wuduknya. Maka siapa yang dapat melebihi batas yang wajib, lebihkanlah." (Hadis riwayat Muslim)

Salah satu syarat sah sembahyang ialah mengambil wuduk dan wuduk yang sempurna membolehkan seseorang mengerjakan solat dengan penuh khusyuk.

Ketika berwuduk diharuskan membaca doa tertentu seperti berikut:

· Ketika berkumur, berniatlah: "Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini."

· Ketika membasuh muka, berniatlah: "Ya Allah, putihkanlah (berikanlah cahaya) pada mukaku di akhirat kelak. Janganlah Kau hitamkan mukaku ini."

· Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah: "Ya Allah, berikanlah buku hisabku di tangan kananku ini."

· Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah: "Ya Allah, janganlah Kau berikan buku hisabku di tangan kiriku ini."

· Ketika membasuh kepala, berniatlah: "Ya Allah, lindunglah aku daripada terik matahari di padang Mahsyar dengan ArasyMu."

· Ketika membasuh telinga, berniatlah: "Ya Allah, ampunilah dosa telingaku ini."

· Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah: "Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratul Mustaqim."

· Ketika membasuh kaki kiri, berniatlah: "Ya Allah, bawakanlah daku pergi ke masjid, surau dan bukan tempat maksiat."

Islam Berwuduk tidak saja diperlukan ketika hendak mengerjakan solat tetapi kita juga disarankan supaya berwuduk apabila hendak membaca al-Quran, mempelajari sesuatu ilmu dan ketika hendak masuk tidur kerana sesungguhnya wuduk dapat menggugurkan dosa kecil yang dilakukan dan menjadikan seseorang itu sentiasa berada dalam keadaan bersih di samping menambah keserian wajah.

Daripada Umar bin al-Khattab katanya: "Ada seorang lelaki berwuduk tetapi ada kakinya yang tidak terkena air selebar kuku. Dan hal itu dilihat oleh Nabi SAW. Disebabkan itu Baginda bersabda yang bermaksud: "Ulang kembali wudukmu dengan sempurna dan sebagus-bagusnya." Orang itu pun berwuduk kembali dan sesudah itu dia solat." (Hadis riwayat Muslim)

Sumber: Jabatan Kemajuan Malaysia


11 JENIS MANUSIA DIDOA MALAIKAT


Bersama Mohd Zawawi Yusoh

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan.

Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.


Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat.

Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.

Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

"Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?"

Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'"

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...'"

10. Orang yang sedang makan sahur.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. “Semoga kita termasuk dan tersenarai sama.”


MENANTI DI BARZAKH

Ku Merintih, Aku Menangis,
Ku Meratap, Aku Mengharap,
Ku Meminta Dihidupkan Semula,
Agar Dapat Kembali Ke Dunia Nyata,

Perjalanan Rohku,
Melengkapi Sebuah Kembara,
Singgah Di Rahim Bonda,
Sebelum Menjejak Ke Dunia,
Menanti Di Barzakh,
Sebelum Berangkat Ke Mahsyar,
Diperhitung Amalan,
Penentu Syurga Atau Sebaliknya,

Tanah Yang Basah Berwarna Merah,
Semerah Mawar Dan Jugak Rindu,
7 Langkah Pun Baru Berlalu,
Seusai Talkin Bernada Syahdu,
Tenang Dan Damai Di Pusaraku,
Nisan Batu Menjadi Tugu,
Namun Tak Siapa Pun Tahu Resah Penantianku,

Terbangkitnya Aku Dari Sebuah Kematian,
Seakan Ku Dengari,
Tangis Mereka Yang Ku Tinggalkan,
Kehidupan Di sini Bukan Suatu Khayalan x2
Tetapi Ia Sebenar Kejadian x2

Kembali Oh Kembali,
Kembalilah Ke dalam Diri,
Sendirian Sendiri,
Sendiri Bertemankan Sepi,
Hanya Kain Putih Yang Membaluti Tubuhku,
Terbujur Dan Kaku,
Jasad Di dalam Keranda Kayu,

Ajal Yang Datang Dimuka Pintu ,
Tiada Siapa Yang Memberi Tahu,
Tiada Siapa Pun Dapat Hindari,
Tiada Siapa Yang Terkecuali,
Lemah Jemari Nafas Terhenti,
Tidak Tergambar Sakitnya Mati,
Cukup sekali Tak Sanggup Untuk Mengulangi,

Jantung Berdenyut Kencang,
Menantikan Malaikat Datang,
Mengigil Ketakutan Gelap Pekat Dipandangan,
Selama Ini Diceritakan x2
Kini Aku Merasakan x2
Dialam Barzakh Jasad Dikebumikan x2

Ku Merintih, Aku Menangis,
Ku Meratap, Aku Mengharap,
Ku Meminta Dihidupkan Semula,
Agar Dapat Kembali Ke Dunia Nyata



HIKMAH DIAM

Manusia berbicara setiap masa. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kepada manusia. Jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Di dunia akan dibenci oleh manusia lain manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati orang lain akan menyebabkan kita terseksa kekal abadi di dalam neraka.

Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah.

Oleh itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia.

Hikmah Diam
1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.
2. Perhiasan tanpa berhias.
3. Kehebatan tanpa kerajaan.
4. Benteng tanpa pagar.
5. Kekayan tanpa meminta maaf kepada orang.
6. Istirehat bagi kedua malaikat pencatat amal.
7. Menutupi segala aib.

Hadis2 Rasullulah mengenai kelebihan diam yg bermaksud:

* "Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya.Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya". (Riwayat ABU NAIM)

* "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam". (Riwayat BUKHARI & MUSLIM)

* "Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya".(Riwayat AT-TARMIZI)

Madah Dari Berdiam:

* BANYAK DIAM TIDAK SEMESTINYA BODOH, BANYAK CAKAP TIDAK SEMESTINYA CERDIK, KERANA KECERDIKAN ITU BUAH FIKIRAN, ORANG CERDIK YANG PENDIAM LEBIH BAIK DARI ORANG BODOH YANG BANYAK CAKAP.

* MENASIHATI ORANG YANG BERSALAH, TIDAK SALAH. YANG SALAH MEMIKIRKAN KESALAHAN ORANG.

* KALAU ORANG MENGHINA KITA, BUKAN KITA TERHINA, YANG SEBENARNYA ORANG ITU MENGHINA DIRINYA SENDIRI.

Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan kecuali dengan diam. Jalan yang terbaik ialah diam kalau kita tidak dapat bercakap ke arah perkara2 yang baik. Bicara yang baik adalah lambang hati yang baik dan bersih yang bergantung kepada kekuatan iman pada diri manusia Dari Abdullah bin 'Amr R. A, Rasulullah S. A. W bersabda:

" Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat.."



Wednesday, May 27, 2009

MANUSIA BERTANYA, AL QUR'AN MENJAWAB


Manusia Bertanya : Kenapa aku diuji ?
Qur'an Menjawab : Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? (Al-Ankabuut : 2). Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (Al-Ankabuut : 3)

Manusia Bertanya : Kenapa aku tidak diuji saja dengan hal-hal yang baik ?
Qur'an Menjawab : ………. boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (Al-Baqarah : 216)

Manusia Bertanya : Kenapa aku diberi ujian seberat ini?
Qur'an Menjawab : Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya………. (Al-Baqarah : 286)

Manusia Bertanya : Bolehkah aku merasa kecewa ?
Qur'an Menjawab : Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman. (Ali Imraan : 139)

Manusia Bertanya : Bolehkah aku berputus asa ?
Qur'an Menjawab : ………..dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir. (Yusuf : 87)

Manusia Bertanya : Bagaimana cara menghadapi ujian hidup ini?
Qur'an Menjawab : Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beruntung. (Ali Imraan : 200) Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu'. (Al-Baqarah : 45)

Manusia Bertanya : Bagaimana menguatkan hatiku?
Qur'an Menjawab : ….Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal……. (At-Taubah : 129)

Manusia Bertanya : Apa yang kudapat dari semua ujian ini?
Qur'an Menjawab : Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka………. (At-Taubah : 111)


(Sumber Tulisan oleh : Hakeem bin Zain)


HATI TEMPAT JATUHNYA PANDANGAN ALLAH


Di zaman Nabi Musa a.s. ada seorang hamba Allah yang kerjanya mencuri.
Sudah 40 tahun dia mencuri. Suatu hari, dia terlihat Nabi Musa a.s. sedang berjalan. Terlintas di hatinya untuk berjalan bersama Nabi Musa a.s.
Katanya’ “ Kalau aku dapat berjalan bersama Nabi Musa, mudah-mudahan ada juga berkatnya untuk aku.”

Tetapi setelah difikirkannya semula, dia tidak jadi melangsungkan niatnya itu. Dia berkata, “Aku ini pencuri. Manalah layak pencuri macam aku ini berjalan bersama seorang nabi.” Sejurus kemudian, dia terlihat pula seorang abid berlari-lari anak mengejar Nabi Musa a.s. dari belakang.
Si abid ini telah beribadah secara istiqamah selama 40 tahun dan dikenali orang. Si pencuri itu berkata di dalam hatinya, “Baik aku berjalan bersama di abid ini. Moga-moga ada juga baiknya untuk aku.”

Lantas si pencuri menghampiri si abid dan meminta kebenaran untuk berjalan bersamanya. Apabila ternampak sahaja si pencuri, si abid terkejut dan terus merasa takut. Dia berkata di dalam hatinya, “Celaka aku! Kalau si pencuri ini berjalan bersama aku, takut-takut nanti rosak segala kebaikan dan amalanku.”

Si abid terus berlari laju supaya si pencuri tidak dapat ikut. Si pencuri tadi terus mengikut si abid kerana hendak berjalan bersamanya. Akhirnya kedua-dua mereka sampai serentak kepada Nabi Musa a.s.

Nabi Musa a.s. terus berpaling dan bersabda kepada mereka berdua, “ Aku baru sahaja mendapat wahyu dari Allah Taala supaya memberitahu kamu berdua bahawa segala amalan kamu telah dimansuhkan oleh Allah.” Maka terkejutlah si abid dan si pencuri tadi. Berbahagialah si pencuri kerana segala dosanya mencuri selama 40 tahun telah diampunkan oleh Allah. Celaka dan dukacitalah si abid kerana segala amalan dan ibadahnya selama 40 tahun telah ditolak dan tidak diterima oleh Allah.

Rupa-rupanya si pencuri itu, walaupun kerjanya mencuri, dia tidak suka akan perbuatannya itu. Dia miskin dan tanggungannya banyak. Masyarakat ketika itu sudah rosak dan orang kaya enggan membantu fakir miskin. Dia mencuri kerana terpaksa. Oleh itu, setiap kali dia mencuri, dia amat merasa bersalah dan berdosa. Jiwanya terseksa dan menderita. Selama 40 tahun dia menanggung rasa berdosa itu dan selama itu juga jiwanya parah menanggung derita. Selama 40 tahun hatinya merintih meminta belas kasihan, keampunan dan mengharapkan kasih sayang Tuhan.

Si abid pula, amat yakin ibadahnya mampu menyelamatkannya. Dia yakin ibadahnya akan dapat membeli Syurga. Setiap kali dia beribadah, dia rasa dirinya bertambah baik. Setiap kali dia beribadah, dia rasa dirinya bertambah mulia. Selama 40 tahun si abid ini mendidik hatinya supaya merasa lebih baik dan lebih mulia setiap kali dia membuat ibadah. Hingga dia rasa tidak layak bergaul, inikan pula berjalan bersama orang yang hina dan berdosa. Dia rasa dia hanya layak berjalan bersama para Nabi.

Maha Suci Allah yang mengetahui segala isi hati manusia. Yang tidak melihat akan amalan-amalan lahir tetapi apa yang ada di dalam hati. Yang menilai hamba-Nya mengikut apa yang termampu oleh hamba-Nya dan tidak lebih dari itu. Yang menguji manusia dengan kesusahan dan nikmat untuk mengetahui siapa di kalangan hamba-hamba-Nya yang benar-benar berjiwa hamba dan merasa bahawa Allah itu Tuhannya.


BERJUTA KAWAN SERIBU SAHABAT

Mencari kawan dan membina perkenalan tidaklah sepayah mencari sahabat dan membina persahabatan. Daripada seribu orang kawan mungkin hanya seorang yang layak dipanggil sahabat.

Siapakah sahabat? Dia sanggup berada bersama kita dalam keadaan apa sekalipun. Ketika kita masih orang kecil, dia teman ke sana ke mari; ketika kita sudah menjadi orang besar, dia tidak terhegeh-hegeh mencari peluang. Tetapi dia di situ, sedia untuk menyokong kita supaya tidak rebah. Tanpa pengetahuan kita dia sanggup berkorban membetulkan persepsi silap masyarakat terhadap kita. Dia berperanan sebagaimana kita masih orang kecil dahulu tanpa sebarang kepentingan.

Tatkala payung kita kuncup dia datang membawakan payungnya untuk kita. Lalu kita sama-sama berteduh di bawahnya. Jika payung kita kecil dan tidak muat untuk kita berdua, dia rela basah ditimpa hujan asalkan kita tidak basah sebagaimana dia.

Seorang sahabat itu sanggup memberikan apa sahaja yang kita perlukan manakala apa yang kita perlukan itu ada di tangannya. Dia tidak mengharapkan balasan tetapi jujur untuk memelihara persahabatan. Di manakah anda hendak mencari seseorang yang seperti ini? Sebab itulah mungkin seorang pun payah hendak dicari daripada seribu orang yang ada.

Seorang sahabat seperti digambarkan dalam ejaan JUMAAT; jujur, unggul, matang, asli, amanah dan teguh. Dia jujur, maka boleh diletakkan kepercayaan untuk tolong lihat-lihatkan keluarga kita tatkala kita berpergian. Dia unggul, maka kita boleh bersandar pada dia tatkala kita hilang motivasi diri. Dia matang, maka kita boleh dapatkan nasihat-nasihat berguna atau merujuk masalah-masalah semasa yang kita hadapi. Dia asli, maka peribadinya bukan ikutan atau tidak mudah luntur, tetapi selari dengan kehendaknya sebagai insan bertuhan. Dia amanah, maka ciri-ciri ini sangat diperlukan dalam persahabatan. Dia teguh, maka kita boleh bergantung padanya pada sangat-sangat getir.

Itu ciri-ciri sahabat. Tentu payah untuk mendapatkannya. Ia payah sebab kita sendiri tidak bersikap seperti itu. Kalau kita bersikap seperti itu, semua yang akan datang kepada kita adalah orang yang seperti itu. Jadi, usah harapkan orang berbuat baik kepada kita kalau kita sendiri tidak dapat melayaninya dengan lebih baik. Usah harapkan datang seseorang yang memiliki sifat-sifat jujur, unggul, matang, asli, amanah dan teguh kalau kita sendiri seorang yang curang, lemah, berfikiran singkat, mudah terpengaruh, tidak amanah dan lembek.

Persahabatan itu bermula daripada satu bentuk perkenalan. Daripada satu perkenalan yang mudah menjadi erat apabila adanya pertanyaan, saling bertanya saling mahu kenal mengenal. Dari situ lahirnya keyakinan. Meskipun kadang-kadang terpaksa memberikan seribu pengorbanan serta berjuta-juta perjuangan, ia tetap pergi kepada yang satu iaitu keikhlasan.

“Terima kasih kerana sudi menjadi sahabatku”

“Ukhuwah yang terbina persis untaian tasbih,

ada awal tiada penghujung,

dibuat untuk mengingatiNya,

dicantum kerana cintaNya,

diratib semata-mata kerana redhaNya”