Sabda RasulAllah saw : Ada dua kalimat yang ringan di lidah namun sangat berat timbanganya di neraca Allah.
سبحان الله و بحمده ... سبحان الله العظيم

"Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, sebaik-baik amalku pada penamatnya dan sebaik-baik hariku, ialah hari ketika aku bertemu denganMu, Ya Allah..."

Friday, October 30, 2009

Alasan Dangkal

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Alasan tidak masuk akal apabila seorang pemilik restoran yang mempamerkan sijil halal palsu di premisnya mendakwa tidak tahu bahawa mencampurkan kicap mengandungi kadar alkohol tinggi ke dalam masakan ayam haram dimakan.

Difahamkan, restoran kopitiam terletak di Damansara Perdana terbabit menggunakan kicap dengan kadar alkohol 16 peratus setiap botol itu sebagai resipi wajib bagi merendam ayam masakan yang dihidangkan.

Perbuatan disifatkan satu penganiayaan kepada pengguna Islam itu berjaya dibongkar selepas sepasukan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuat serbuan di restoran kopitiam itu, semalam.

Serbuan kira-kira jam 11.30 pagi itu disertai seramai lima pegawai Jakim dibantu tiga pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya.

Sumber Jakim berkata, siasatan diketuai Penolong Pengarah Bahagian Hub Halal Jakim, Mohd Amri Abdullah, dilakukan selepas pihaknya mendapat aduan berhubung kesangsian orang ramai terhadap sijil halal milik restoran berkenaan. Menurutnya, hasil pemeriksaan, pihaknya mendapati pemilik premis menggunakan sijil halal palsu dibeli dari syarikat swasta dengan harga lebih RM1,000.

“Pemilik restoran bukan Islam berkenaan dipercayai menggunakan sijil halal palsu terbabit sebagai modalmenarik pelanggan di kalangan pengguna Islam. Mungkin menyedari sukar melepasi syarat pensijilan halal Jakim, dia cuba mendapatkan sijil halal dari pihak yang menawarkannya pada harga tertentu.

“Pemeriksaan mendapati, pemilik restoran mempamerkan sijil halal Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) luput tarikh pada dinding premis,” katanya.

Menurutnya, pegawai Jakim yang melakukan pemeriksaan susulan di dapur restoran berkenaan terkejut apabila menemui beberapa botol cecair hitam dipercayai kicap khas digunakan dalam masakan.

“Pemeriksaan pada botol kicap mendapati ia mengandungi alkohol 16 peratus. Kadar alkohol tinggi itu jelas boleh menyebabkan individu yang meminum kicap berkenaan mabuk.

“Ketika ditanya kepada tukang masak warga asing yang bertugas di dapur berkenaan, dia mengaku menggunakan kicap alkohol terbabit untuk merendam ayam supaya lebih enak. Berikutan itu, pegawai Jakim merampas ketiga-tiga botol kicap alkohol berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pemilik restoran terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perihal Dagangan 1972 kerana memalsukan logo sijil halal Jakim yang boleh membawa denda maksimum RM250,000 jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, operasi seumpama itu diteruskan bagi membasmi penggunaan sijil halal tidak mendapat tauliah Jakim selain memastikan pemilik restoran patuh terhadap syarat pensijilan halal ditetapkan.

Serbuan dilakukan semalam kejayaan kedua selepas pegawai Jakim membongkar penggunaan kicap mengandungi alkohol di sebuah restoran di Wangsa Maju di sini, 22 Oktober lalu.

Lebih mengejutkan apabila pemilik restoran terbabit mendakwa dia membeli sijil halal tidak diiktiraf Jakim itu pada harga RM3,000 daripada syarikat swasta yang langsung tidak pernah melakukan pemeriksaan terhadap premis berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20091030084045/Article/index_html


No comments: