Sabda RasulAllah saw : Ada dua kalimat yang ringan di lidah namun sangat berat timbanganya di neraca Allah.
سبحان الله و بحمده ... سبحان الله العظيم

"Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, sebaik-baik amalku pada penamatnya dan sebaik-baik hariku, ialah hari ketika aku bertemu denganMu, Ya Allah..."

Saturday, March 2, 2013

REDHA

Redha memang tidak mudah. Tetapi redha itulah yang mampu buat hati hilang resah dan membuahkan ketenangan...

Pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia sendiri; dan Dia mengetahui apa yang ada di dataran dan dilautan; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis didalam kitab yang nyata (Lawh Mahfuz)... (Al-An'aam 6:59)

Monday, December 31, 2012

HEBATNYA SOLAT MEREKA...



Bagaimana pula solat kita?...

Hatim bin Asam ra ditanya tentang hal keadaanya mengenai solat... Jawab Hatim: "Tiba waktu solat aku pun berwuduk dan pergi ke tempat solat... Aku duduk di situ sehingga ketegangan anggota tubuhku kendur (berasa tenang). Kemudian aku pun berdiri untuk solat...".

"Semasa inilah aku membayangkan satu gambaran yang jelas di hadapan mataku iaitu Kaabah di hadapanku, kakiku berdiri di atas Titian Sirat dengan Syurga di sebelah kananku dan Neraka di sebelah kiriku... Izrail di belakangku... aku berasa seolah-olah inilah solatku yang terakhir...".

"Aku lemas dalam dua perasaan: takut solatku tidak diterima dan berharap sungguh agar solatku diterima... Dalam keadaan inilah aku menunaikan solat dengan penuh keikhlasan dan ketaatan..."

BILA SAMPAI MASANYA...

Ketika daun yang tertulis nama kita gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah dia akan mula mengikuti kita sepanjang masa...
Sentiasalah bersiap sedialah wahai diri...

Friday, December 28, 2012

TAKDIR ALLAH TERBAIK BUAT KITA...

Wahai insan...
Andai engkau mengetahui betapa hebat aturanNya,
Pasti engkau akan redha di atas setiap percaturanNya,
Pasti engkau akan yakin dan percaya akan setiap tindakanNya ke atasmu adalah yang terbaik...

Kadangkala kita terlalu inginkan sesuatu,
Tetapi Dia lebih mengetahui,
Kerana barangkali apa yang engkau suka itu tidak baik bagimu,
Dan barangkali sesuatu yang engkau tidak suka itu baik bagimu,
Hebatnya perancangan Rabbul Izzati...

Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)...
(Al-Qamar 54:49)

Dan Dia lah yang Berkuasa atas sekalian hambaNya (dangan tadbir dan takdir); dan Dia lah Yang Maha Bijaksana serta Amat Mendalam PengetahuanNya...
(Al-An'aam 6:18)

Sunday, December 23, 2012

MUHASABAH...

Jarang sekali kita menilai atau bermuhasabah tentang amal ibadah kita yang paling penting iaitu Solat lima waktu, sudahkah dilaksanakan dengan sempurna?

Solat merupakan ibadah pertama yang akan dihisab pada Hari Kiamat nanti, sebagaimana ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya perkara pertama yang ditanya terhadap seorang hamba pada hari Kiamat dari amal perbuatannya ialah Solatnya. Jika Solatnya baik, maka sungguh beruntung dan berjayalah dia dan jika Solatnya buruk/rosak, maka kecewa dan rugilah dia”... (HR An-Nasa’i dan At-Tirmizi)

Merujuk maksud Hadith Rasulullah SAW ini, bahawa sesungguhnya ibadah Solat adalah tunjang atau tiang bagi seluruh amalan manusia. Kerana itu, ibadat Solat menjadi ibadat dan amal yang pertama-tama akan ditanya...

“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam Solatnya”... (Al Mu’minun, ayat: 1-2)

“…dan dirikanlah Solat, sesungguhnya Solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan”... (Al Ankabut, ayat: 45)

Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Dua rakaat yang dikerjakan oleh hamba pada waktu tengah malam adalah lebih baik baginya dari dunia dan isinya. Dan kalaulah tidak member kesukaran kepada umatku, nescaya aku wajibkan kedua rakaat itu atas mereka.”

Sabda Rasulullah saw lagi yang bermaksud: “Kerjakan solat dua rakaat dalam kegelapan malam untuk kesuraman kubur...”

Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda: Allah akan turun ke langit dunia setiap malam ketika sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: Sesiapa yang berdoa kepadaKu, maka Aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan dariKu maka Aku akan mengampuninya...

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak memandang kepada rupa paras kamu dan harta benda kamu, tetapi sesungguhnya hanya yang dilihat-Nya ialah hati-hati kamu dan amal-amal kamu”... (HR Muslim dan Ibnu Majah)

"Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umur kami pada penghujungnya, sebaik-baik amal kami pada penamatnya dan sebaik-baik hari kami, ialah hari ketika kami bertemu denganMu, Ya Allah..."

Friday, February 17, 2012

CINTA INSAN...



Cinta dan mencintai adalah fitrah yang lahir dari sanubari setiap insan yang bergelar manusia. Cinta itu sebenarnya indah apabila kita meletakkan cinta itu pada tempatnya. Maksudnya adalah cinta yang Allah redha...

Cinta yang Allah redha ialah cinta yang boleh membawa pasangan kita ke Syurga. Tidak inginkah membawa si dia ke Syurga? Syurga yang penuh dengan nilai cinta dan keindahan yang tiada tolok bandingnya… Jika benar kita ingin membawa si dia ke Syurga, jadi jalannya mesti dengan jalan yang Allah redha...

“Ya Allah, aku memohon cintaMu, cinta orang-orang yang mencintaiMu dan cinta kepada semua amalan yang boleh membawa kepada cinta dan sayang kepadaMu...”

Tidak mungkin Syurga di akhirat menjadi habuan kita, andai dunia bersalut neraka. Dunia adalah ladang akhirat, apa yang kita semai pada hidup yang sementara ini, itulah tuaian kita di akhirat kelak...

“Bercintalah sampai ke Syurga, wahai dua insan sedang bercinta…”
CINTA HAKIKI ialah cinta kepada Pemilik Cinta...


Friday, July 1, 2011

BERDOALAH...

~Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan... (Al-A'raaf 7:180)

Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya... (Al-A'raaf 7:56)

Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas... (Al-A'raaf 7:55)

Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina... (Ghaafir 40:60)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu). (Al-Baqarah 2:152)




Saturday, June 25, 2011

HATI TEMPAT JATUHNYA PANDANGAN ALLAH

"Hati yang bersih dari penyakit lalai dan nafsu akan menikmati lazatnya pelbagai hakikat, selayaknya tubuh yang menikmati lazatnya makanan. Hanya orang yang rela Allah sebagai Tuhannyalah yang bisa merasakan nikmat iman... Sebab, ketika dia redha, dia berserah kepadaNya, mematuhi ketetapanNya, serta menyerahkan kendali kepadaNya, tidak ikut mengatur dan memilih, serta selalu menerima aturan dan pilihan terbaikNya. Ketika itulah, dia merasakan nikmatnya hidup dan lazatnya keberserahan. Ketika dia redha Allah sebagai Tuhannya, dia pun mendapatkan redha Allah…. Allah berfirman, 'Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada-Nya’..."(Al-Imam Ibnu 'Athaillah As-Sakandari r.a.)

"Sesungguhnya Allah meletakkan kekuatan orang beriman di dalam hatinya, bukan pada anggota tubuhnya... Tidakkah kamu memperhatikan orang tua yang sudah lemah tapi masih mampu berpuasa disiang yang sangat panas dan bangun dimalam hari untuk melakukan solat malam?... Padahal banyak orang-orang yang masih muda lagi kuat tidak sanggup untuk melaksanakannya..." (Syumaith)

(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar. (Al-Baqarah 2:7)

Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran). (Al-Baqarah 2:10)

Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan. (Al-Baqarah 2:74)

Abu Hurairah Radhiallaahu anhu berkata: "Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentara… Jika raja itu bagus, maka akan bagus pula tentaranya… Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya…"