Sabda RasulAllah saw : Ada dua kalimat yang ringan di lidah namun sangat berat timbanganya di neraca Allah.
سبحان الله و بحمده ... سبحان الله العظيم

"Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, sebaik-baik amalku pada penamatnya dan sebaik-baik hariku, ialah hari ketika aku bertemu denganMu, Ya Allah..."

Thursday, November 25, 2010

HAI HATI...


Hai hati...

Zikirkan tanpa henti.

Jangan jemu mengingati Ilahi

Istighfar, takbir, tahmid, tahlil

di depanmu terdampar dalil

tiada Tuhan selain Allah

sebut ya Allah, ya Allah, ya Allah

tiada had kepadaMu aku berserah

Lailaha illallah, Lailaha illallah, Lailaha illallah

jangan kau mungkiri biarpun sepatah...


Hai hati...

Sebut dengan nama Allah

Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

sebut ya Allah Tuhan Maha Agung

di bawah ZatMu aku berlindung

nikmat rahmatMu semesta alam

alam ghaib tidak terjangkau fikiran

maujud anugerah dalam kenyataan

dari tiada kepada ada aku datang

dari ada kepada tiada aku pulang

antara ada dan tiada kita ada

tiba kiamat hari pembalasan

belum tentu ke kiri ke kanan...


Hai hati...

Mohon pertolongan padaNya

kumohon jalan lurus, nikmatnya syurga

jauhi azab neraka, mereka yang Kau murka

ku mohon redha rahmatMu, tidak sesat jalan

tidak terhitung waktu, anugerah di pangkuan.


Hai hati...

Ingatilah selalu maksud firman

"...orang-orang yang beriman

dan hati mereka menjadi tenteram

dengan mengingati Allah,

hanya dengan mengingati Allahlah

hati menjadi tenteram"(Ar-Ra'd:28)...

(Sajak ehsan:Dato' A.Aziz Deraman)



Monday, November 22, 2010

KISAH SEMALU...

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan...

Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah. Rasulullah dengantenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut. Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek...

1. Pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

2. Semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

3. Semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.

4. Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja. Ambillah pengajaran dari semalu walau pun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil.



Tuesday, November 16, 2010

IBADAH KORBAN...

Maksud Korban

Menyembelih binatang ternakan yangterdiri daripada unta, lembu, kambing dan kibas yang sampai umur* pada hari raya korban (Aidil Adha) iaitu pada 10 Zulhijjah selepas sembahyang sehingga gelincir matahari hari terakhir tasyrik iaitu 13 Zulhijjah dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah.

*Umur binatang yang boleh dikorbankan:

1. Unta 5 thn ke atas – 7 bahagian.

2. Lembu, kerbau 2 thn ke atas – 7 bahagian.

3. Kambing 2 thn ke atas- 1 bahagian.

4. Biri-biri, kibas 1 ½ thn- 1 bahagian.

٭Ditegah berkorban dengan binatang yang cacat, berpenyakit, patah anggotanya dan terlalu kurus.

Kelebihan Korban

Sangat banyak hadis Rasulullah saw yang menerangkan tentang keutamaan berkorban, dan di dalamnya terdapat pelbagai rahsia dan hikmah yang sangat besar. Hadis-hadis tersebut di antaranya: "Tiada suatu amalanpun yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, lebih dicintai oleh Allah swt selain dari menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu nanti di hari kiamat akan datang berserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, pahalanya telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semuanya dengan pahala korban itu". (HR. Tirmidzi dan Ibn Majah)

"Para sahabat bertanya kepada Rasulullah saw: "Ya Rasulullah, apakah Ud-hiyyah (korban) itu?". Rasulullah menjawab: "Itulah sunnah ayahmu Ibrahim". Para sahabat kembali bertanya: "Apakah yang kita akan peroleh dari Ud-hiyyah itu?". Rasulullah menjawab lagi: "Pada setiap helai bulu (dari binatang yang dikorbankan itu) kita akan mendapat satu kebajikan". (HR. Ahmad dan Ibn Majah)

"Barangsiapa yang diberi kemudahan, sehingga ia mampu berkorban akan tetapi tidak mahu berkorban, maka janganlah ia mendekati tempat solat kami ini". (HR. Ahmad dan Ibn Majah)

Daripada penjelasan beberapa hadis di atas, maka jelaslah bahawa amalan korban itu adalah amalan yang sangat dianjurkan dalam Islam dan juga sunnah yang diwarisi dari Nabi Ibrahim a.s. Bagi orang-orang yang melaksanakan korban, ia akan dapat satu kebajikan daripada setiap helai bulu haiwan yang telah dikorbankan itu. Selain itu juga korban tersebut akan memperoleh manfaat atau faedahnya jika sekiranya korban tersebut benar-benar dilaksanakan kerana Allah dengan tujuan untuk menegakkan sunnah dan terlepas dari maksud dan tujuan yang lain. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Dan binatang-binatang korban itu Kami jadikan buat kamu sebagai sebahagian dari upacara-upacara (agama) Allah. Padanya ada kebaikan bagi kamu. Oleh kerana itu sebutlah nama Allah ketika menyembelihnya dalam keadaan berbaris-baris. Maka apabila gugur (sembelihan-sembelihan itu), makanlah daripadanya dan berilah makan fakir yang menjaga kehormatan dan fakir yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan (binatang-binatang) itu untuk kamu agar kamu bersyukur".

"Tidak akan sampai kepada Allah daging-dagingnya dan tidak pula darah-darahnya. Tetapi akan sampai kepada Allah ialah ketaqwaan dari kamu. Demikianlah dipermudahkannya korban-korban kepada kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan hendaklah kamu gembirakan orang-orang yang berbuat kebajikan ". (al-Hajj : 36-37)

Hukum Korban

Hukumnya Sunat Muakkad(dituntut). Adapun bagi mereka yang bernazar,hukumnya wajib. Bagi mereka yang berkemampuan Makruh meninggalkan amalan ini.

Wajib hukumnya kepada Rasulullah berdasarkan hadis: “Diwajibkan ke atas ku melaksanakan ibadat korban namun ia merupakan satu amalan sunat bagi kamu”.(Riwayat Imam Tirmizi)

Waktu melakukan ibadah Korban

Korban boleh dilakukan selama 4 hari Hariraya Aidiladha.

Bolehkah diniatkan akikah semasa melakukan korban?

Boleh juga diniatkan akikah semasa korban, cuma kurang martabat dan nilainya berbanding korban. 7 bahagian daging korban (tidak termasuk akikah) akan menjadi seekor binatang tunggangan kita meniti titian sirat di hari akhirat.

Pembahagian daging

Tiap-tiap orang sunat makan daging korbannya sendiri (lembu yang dikorbankan). Menyalahi sunnah nabi sekiranya lembu A yang dikorban tetapi daging lembu B yang diberi. (dicampur-campur daging lembu A dan B). Hati, jantung, daging peha (depan, belakang) juga mesti dibahagi tujuh bahagian. Tulang rusuk juga mesti dibahagi 7, misalnya 2 batang/keping tulang seorang. Bahagian seperti kepala dan kaki tidak wajib dibahagi 7 (kaki cuma ada 4 kaki).

Bolehkah daging korban diberi kepada orang kaya?

Daging korban boleh diberi kepada orang miskin atau kaya walaupun orang itu juga melakukan ibadah korban, tetapi tidak boleh diberi kepada orang kafir,

Bolehkah daging korban disimpan?

Pada permulaan Islam tidak boleh, Nabi larang simpan daging korban. Namun akhirnya dibolehkan. Satu bahagian daging korban dibahagi tiga. 1/3 dari satu bahagian kita ambil, 2/3 dari satu bahagian dibahagikan. Daging korban yang boleh disimpan ialah 1/3 dari 1 bahagian yang dikorbankan. Daging akikah tidak boleh disimpan, hendaklah dihabiskan.

Sedekah pahala korban untuk Nabi

Nabi Muhammad s.a.w. juga telah mengorbankan dua ekor kibas yang besar salah satunya untuk dirinya dan yang satu lagi untuk umatnya. Kita juga sepatutnya melakukan korban untuk Nabi

Bahawasanya Nabi berkorban dua ekor kibas kedua-duanya berwarna putih bercampur hitam. Seekor untuk diriNya s.a.w dan seekor lagi untuk umatNya yang mengaku KeEsaan Allah ta’ala ( yang beriman) dan menyaksikan (mengaku) KeRasulanNya”.

Wallahu a'lamu bi al-shawab...

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA KORBAN



Friday, November 12, 2010

INGAT MATI...

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan... (Surah Ali Imran, ayat 185)



Tuesday, November 2, 2010

LELAKI ACUAN AL QURAN…

LELAKI ACUAN AL QURAN…

Lelaki acuan al-Quran ialah seorang lelaki yang beriman…

Yang hatinya disaluti rasa taqwa kepada Allah SWT

Yang sentiasa haus dengan ilmu

Yang sentiasa dahaga dengan pahala

Yang solatnya adalah maruah dirinya

Yang tidak pernah takut berkata benar

Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu

Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang menjaga tuturkatanya

Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya

Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya

Yang sentiasa berbuat kebaikan kerana sifatnya yang pelindung

Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang

Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang menghormati ibubapanya

Yang sentiasa berbakti kepada kedua orangtua dan keluarga

Yang bakal menjaga keharmonian rumahtangga

Yang akan mendidik anak anak dan isteri mendalami agama Islam

Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan

Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menunggu akhirat

Lelaki acuan al-Quran sentiasa bersedia untuk agamanya

Yang hidup dibawah naungan al-Quran dan mencontohi sifat Rasulullah SAW

Yang boleh diajak berbincang dan berbicara

Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya

Lelaki acuan al-Quran tidak pernah membazirkan masa

Matanya kepenatan kerana kuat membaca

Yang suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir

Yang tidurnya lena dengan cahaya keimanan

Bangun subuhnya penuh dengan kecerdasan

Kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kematangan

Lelaki acuan al-Quran sentiasa mengingati mati

Yang baginya hidup didunia adalah ladang akhirat

Yang mana buah kehidupan itu perlu dibajai dan dijaga

Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian

Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang tidak mudah terpesona

Dengan buaian dunia

Kerana dia mengimpikan Syurga

Di situlah rumah impiannya…

~“Ya Allah jadikan Al Quraan penenang hatiku, cahaya di dadaku, penghapus kedukaan ku dan penghilang kesusahan ku”



Monday, November 1, 2010

MILIKILAH SIFAT MALU...

Zaman mutaakhir telah menampakkan kita akan banyak kepincangan perilaku, merosotnya akhlaq dan tersebarnya kemaksiatan. Sebahagian manusia telah hilang rasa malunya kepada orang lain. Disebabkan hilangnya perasaan malu, pelbagai tingkah laku tidak senonoh telah ditonjolkan ke tengah-tengah masyarakat.

Malu adalah sebahagian daripada iman. Sifat malu sangat penting untuk dimiliki oleh setiap muslim. Malah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam sendiri merupakan insan yang sangat pemalu. Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih malu sifatnya dari seorang gadis yang di dalam pingitannya.

Pentingnya memiliki sifat malu. Kerana dengan perasaan malu yang terdapat pada diri, seseorang muslim akan mencegah dirinya dari membuat perkara yang dilarang. Dia akan malu untuk melakukan perkara tidak senonoh dan bermaksiat. Dia akan malu untuk pergi ke tempat yang tidak sepatutnya. Dia akan malu untuk cuba-cuba sesuatu yang mungkar. Dia akan malu menzahirkan perilaku buruknya. Kerana malu telah menjadi perisai dirinya.

Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri rodhiyallohu ‘anhu Dia berkata: Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

“Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: ‘Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.” (HR Bukhari)

Ajaran para nabi sejak dulu hingga nabi terakhir, Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam ada sebahagiannya telah luput. Namun, malu adalah antara ajaran yang tidak luput hingga sekarang. Ini menunjukkan bahawa malu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama.

“Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu” bukanlah kata-kata galakan untuk manusia berbuat sesuka hati. Tetapi ia bermaksud ancaman buat manusia yang tidak mempunyai perasaan malu untuk berbuat kerosakan dan kemaksiatan. Maksud ayat tersebut juga adalah ingin memberitahu bahawa malu adalah perisai kepada diri seseorang. Tanpa malu, seseorang akan terdedah untuk melakukan kemaksiatan.

Pernah diriwayatkan bahawa terdapat seorang Ansar yang memberikan nasihat kepada sahabatnya tentang malu. Beliau menyalahkan sahabatnya yang selalu malu dalam banyak hal. Kebetulan ketika itu Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam sedang lalu dan terdengar perbualan mereka berdua. Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam telah memberi pesan kepada orang yang memberi pesan kepada sahabatnya, dengan berkata: “Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian daripada iman.”

Malah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda tentang malu yang mafhumnya:

Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: “Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman.” (Shahih Muslim No.50)

Hadis riwayat Imran bin Husaini ra., ia berkata: Nabi saw. pernah bersabda: “Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.” (Shahih Muslim No.53)

Muslimin-muslimat sekalian,

Antara faktor kepincangan nilai di dalam masyarakat adalah hilangnya rasa malu dari dalam diri. Anak akan mula mengangkat suara dan kurang ajar terhadap ibubapa akibat lunturnya malu. Pelajar mula tidak hormat kepada gurunya apabila sudah hilang malu. Lelaki mula melangkah ke tempat maksiat akibat dia membuang perasaan malu. Perempuan mula tidak sopan di khalayak ramai kerana pudarnya malu. Si gadis mula mempamerkan diri di khalayak ramai apabila kendurnya malu. Pasangan bercinta mula berjumpa dan bercanda kerana mereka sudah tidak malu. Orang ramai mula meminta-minta jawatan apabila cairnya malu. Pengguna jalan raya mula melanggar peraturan jalan raya dan bersikap tidak beradab apabila kurang rasa malu. Masyarakat mula dihinggapi perasaan ingin popular seperti artis dan menyanyi melalak terlolong akibat tidak malu. Pemimpin mula menganggap jawatan dan amanah sebagai batu loncatan mengaut keuntungan apabila pudarnya malu. Pemerintah mula melakukan kezaliman, juga akibat dari hilangnya rasa malu. Dan macam-macam lagi.

Pendek kata, apabila rasa malu mula sedikit demi sedikit hilang dari seseorang, maka terbukalah pintu kemaksiatan dan fitnah bakal bermaharajalela. Sebab itu sifat malu penting untuk seseorang jaga dan pelihara. Jangan terpengaruh dengan sistem pendidikan barat yang mengajar anak-anak mereka agar tidak malu. “Just Do It” antara kata-kata popular di kalangan remaja dan masyarakat. Walaupun ada kebaikannya kepada diri dan masyarakat akan kata-kata itu, namun ia perlu diperhalusi. Agar kaum muslimin tidak lari dari nilai agama yang diajar Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam.

Walaupun kita ummat ISLAM disuruh untuk memiliki sifat malu, namun dalam bab menuntut ilmu dan menyatakan yang haq kita seharusnya tidak terlalu dikongkong malu. Malah, wanita-wanita ketika zaman Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam tidak menghalangi diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan. Mereka tidak malu dalam menuntut ilmu. Sifat ini wajar kita contohi.

Malah dalam pepatah Melayu juga ada mengatakan bahawa “Malu bertanya sesat jalan”. Ini menunjukkan ybahawa dalam mengeluarkan diri dari kejahilan dan kekaburan, jangan kita malu untuk bertanya dan menimba ilmu. Selain itu, rasa malu untuk melakukan kebaikan juga tidak patut ada di dalam diri manusia. Kerana ALLAH subhanahu wata’ala menyuruh hamba-hambaNYA agar berlumba-lumba membuat kebaikan.

Letaklah rasa malu di tempat yang sepatutnya. Malulah dalam kebanyakan hal, namun dalam bab ilmu, menatakan kebenaran dan mengejar ganjaran untuk berbuat kebaikan jangan pula malu menghalangi diri kita. Namun, sifat malu tidak boleh juga dibuang apabila membuat ketiga-tiga perkara kebaikan tersebut. Ini kerana malu akan menjadi sempadan diri agar tidak melampaui batas, walaupun dalam hal membuat kebaikan.

Mudah-mudahan ALLAH subhanahu wata’ala memberikan hidayah dan taufiqNYA kepada kita semua, amin.

Sumber: http://www.muzir.wordpress.com/