Sabda RasulAllah saw : Ada dua kalimat yang ringan di lidah namun sangat berat timbanganya di neraca Allah.
سبحان الله و بحمده ... سبحان الله العظيم

"Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, sebaik-baik amalku pada penamatnya dan sebaik-baik hariku, ialah hari ketika aku bertemu denganMu, Ya Allah..."

Wednesday, March 31, 2010

SIAPALAH DIRIKU INI

Mampukah aku menjadi seperti Siti Khatijah?

Agung cintanya pada Allah dan Rasulullah
Hartanya diperjuangkan ke jalan fisabilillah
Penawar hati kekasih Allah

Susah dan senang rela bersama...

Dapatkah ku didik jiwa seperti Siti Aishah?
Isteri Rasulullah yang bijak

Pendorong kesusahan dan penderitaan
Tiada sukar untuk dilaksanakan...

Mengalir air mataku,
Melihat pengorbanan puteri solehah Siti Fatimah
Akur dalam setiap perintah

Taat dengan abuyanya, yang sentiasa berjuang
Tiada memiliki harta dunia

Layaklah dia sebagai wanita penghulu syurga…

Ketika aku marah,
Ingin ku intip serpihan sabar
Dari catatan hidup Siti Sarah...

Tabah jiwaku setabah ummi Nabi Ismail
Mengendong bayinya yang masih merah
Mencari air penghilang dahaga diterik padang pasir merah
Ditinggalkan suami akur tanpa bantah
Pengharapannya hanya pada Allah
Itulah wanita Siti Hajar...

Mampukah aku menjadi wanita solehah?
Mati dalam keunggulan iman Bersinar indah,
harum tersebar Bagai wanginya pusara Masyitah...


http://kembaraislamku.blogspot.com/2010/03/siapalah-diriku-ini.html



Saturday, March 27, 2010

DUHAI IBU


Duhai ibu, ku tahu jasamu tak terhitung banyaknya…

Duhai ibu, ku tahu syurgaku di bawah tapak kakimu…

Duhai ibu, ku tahu sebagai anak aku mesti patuh padamu…

Duhai ibu, ku tahu melawan cakapmu nerakalah tempatku…


Duhai ibu, cuba fahami anakmu ini…

Duhai ibu, cuba selami hati anakmu ini…

Duhai ibu, jangan ditambah lagi kekusutanku…

Duhai ibu, aku tidak berdaya…

Duhai ibu, takdir Ilahi dah tentukan begitu…


Duhai ayah, kalaulah kau masih ada…

Thursday, March 25, 2010

YA ALLAH

Ya Allah…

Jangan Engkau tinggalkan untuk kami satu dosa melainkan telah Engkau ampunkanya…

Tiada satu aib melainkan telah Engkau tutupinya…

Tiada satu kedukaan melainkan telah Engkau hilangkannya…

Tiada satu hutang melainkan Engkau bayarkannya…

Tiada satu kesakitan melainkan Engkau sembuhkannya…

Tiada satu hajat dari keperluan dunia dan akhirat yang baik bagi kami melainkan Engkau tunaikanya…

Tiada satu kealpaan dan kelalaian melainkan Kau peringatkan kami…

Agar kami dapat merasai nilai sebenar kasih sayang dan keampunanMu...



Friday, March 19, 2010

KEISTIMEWAAN DOA WAKTU SUJUD

Sabda Rasulullah s. a. w

"Sedekat-dekat seorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika sujud, maka perbanyakkan doa." Daripada Abu Hurairah r.a.(Riwayat Muslim)

Sewaktu bersujud, kita berada amat hampir dengan Allah. Katakanlah apa sahaja di dalam hati hajat kita sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s. a. w. yang biasa memanjangkan sujudnya dengan memperbanyakkan zikir dan doa didalamnya.

Banyak doa yang diamalkan oleh Rasulullah untuk kita ikuti. Salah satunya yang paling baik untuk diamalkan ialah doa yang dibaca sewaktu sujud akhir dalam solat.

“Ya Allah, tambahkanlah bagiku rezeki yang banyak lagi halal, imam yang benar, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang elok, kecerdikan yang tinggi, hati yang bersih dan kejayaan yang besar.”

Semoga dengan mengamalkan doa itu kita mendapat manfaat atau sekurang-kurangnya menjadi cita-cita kita dalam mencari keredhaan Allah dunia dan akhirat. Banyak kelebihan memanjangkan sujud dan memperbanyakkan doa di dalamnya. Rasulullah s. a. w biasa berbuat begitu sehingga pernah para sahabat hairan kerana lamanya baginda bersujud.

Keistimewaan umatnya yang bersujud telah disebut oleh baginda dalam sabdanya yang bermaksud:

“Tiadalah ada seorang umatku melainkan aku yang akan mengenalinya di hari kiamat”

Mendengar itu para sahabat bertanya: “Bagaimanakah engkau dapat mengenali mereka dalam khalayak ramai wahai Rasulullah?”

Jawab baginda: “Tidakkah engkau melihat seandainya sekumpulan unta dimasuki oleh seekor kuda yang amat hitam, sedang di dalamnya pula
terdapat sekor kuda putih bersih, maka adakah engkau tidak dapat mengenalinya?”

Sahabat Menjawab: “Bahkan ” Rasulullah menyambung: “Kerana sesungguhnya pada hari itu (kiamat) muka umatku akan putih (berser- seri) disebabkan mereka bersujud (di dunia), segala anggota mereka ( terutama anggota wudu’) putih berseri-seri oleh cahaya wudhuk”

KEISTIMEWAAN SUJUD

Ahli neraka juga mendapat keselamatan kerana bekas sujudnya. Rasulullah s. a. w. bersabda yang bermaksud:

“Apabila Allah hendak melimpahkan Rahmat (kebaikan) kepada ahli-ahli neraka yang Dia kehendaki, Dia pun memerintahkan malaikat supaya mengeluarkan orang-orang yang menyembah Allah, lalu mereka dikeluarkan dan mereka dikenali dengan kesan-kesan sujud (di dahi mereka), di mana Allah menegah neraka memakan (menghapuskan) bekas-bekas sujud itu, lalu mereka pun keluar dari neraka, maka setiap tubuh anak Adam akan dimakan api neraka selain bekas sujud”



Wednesday, March 17, 2010

DOSA HANYA DILUPUS DENGAN 4 CARA

Bersama Dr Juanda Jaya

SESUNGGUHNYA manusia melalui setiap hari dalam hidupnya dengan dua pilihan, iaitu sesaat yang dilalui dengan haruman taat atau sesaat yang dipalit maksiat.

Hitungannya sangat halus, jika dia kehilangan satu detik saja dalam berbakti mungkin kakinya akan terjerumus ke lubang neraka. Begitu juga jika dia terlebih satu detik berharga, satu detik itulah yang menyelamatkannya ke syurga.

Alangkah beruntungnya orang yang memiliki hati selembut kapas, tembus pandangan ke setiap sisi daripada zahir dan batinnya. Melihat, memandang, menilai dan mengukur diri sendiri hingga lupakan aib orang lain.

Al-Qusyairi pernah menulis dalam Risalahnya: “Permulaan orang yang bertaubat ialah kesedaran hatinya dari kelalaian dan dia memandang dirinya buruk lagi hina. Seseorang hanya akan sampai ke tahap ini kerana dua sebab iaitu kuasa Allah SWT yang menunjukinya dan kemahuannya mendengar suara hatinya sendiri. Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dengarlah nasihat Allah di dalam hati setiap Muslim.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Bukankah lebih baik berasa diri kotor dan bersalah daripada mengaku bersih dan tidak sensitif langsung dengan amal perbuatan dilakukan? Adakalanya maksiat itu memberi pengaruh baik bagi diri jika ia dilalui dengan semangat taubat.

Hal ini pernah disebutkan Prof Yusuf al-Qardawi, beliau menukilkan perkataan Ibnu ‘Athaillah dalam kitabnya Al-Taubah Ilaa Allah, beliau berkata: “Boleh jadi Allah sudah membukakan pintu ketaatan kepadamu, tetapi tidak membukakan untukmu pintu penerimaan dan boleh jadi Allah mentakdirkan untukmu berbuat maksiat yang menyebabkan kamu bertaubat dan hampir kepada Allah. Sesungguhnya maksiat yang mencetuskan ketundukan dan membuat hatimu hancur lebih baik daripada ketaatan yang mengakibatkan ketakjuban diri sendiri dan ketakburan.”

Dalam melayari samudera kehidupan, kita memerlukan keteguhan hati. Cubalah memandang segalanya dengan positif. Pujuk hati yang luka dan hilang pertimbangan kerana diasak maksiat. Namun, ramai juga terkorban kerana memandang remeh perkara taubat.

Sesungguhnya dosa hanya dapat dihapuskan dengan empat cara:

Dengan taubat. Firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh dan tetap berada di jalan yang benar.” (Surah Taha, ayat 82)

Melakukan amal salih. Firman Allah Taala yang bermaksud: “Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan melakukan amal salih, maka kejahatan mereka ditukarkan oleh Allah dengan kebaikan. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Furqan, ayat 68-70)

Datangnya musibah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang Muslim yang ditimpa kecelakaan, kemiskinan, kesedihan, sakit mahupun dukacita hatta tertusuk duri sekalipun nescaya Allah akan menebus dosa-dosanya dengan apa yang menimpanya itu.” (Hadis Muttafaqun Alaih)

Dilebur di dalam api neraka. Daripada Abu Zar bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku mengetahui mengenai lelaki yang terakhir keluar dari neraka pada hari kiamat, dikatakan kepadanya: “Bentangkanlah dosa-dosa kecilnya!” Sedangkan dosa besarnya disembunyikan. Kemudian dikatakan kepadanya: Kamu mengerjakan ini pada hari ini dan ini pada hari ini. Dia mengakui tanpa membantah kerana terlalu bimbang dengan dosa besarnya. Lalu dikatakan: Berikanlah kebaikan sebagai pertukaran untuk setiap kejahatan yang dilakukannya. Lalu dia berkata: Aku mempunyai dosa-dosa lain, tetapi tidak dibentangkan di sini. Kata Abu Zar: Aku melihat Rasulullah SAW ketawa hingga nampak gigi geraham baginda.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi, Ibn al-Qayyim menyatakan ia sahih)

Bagaimanakah keadaan orang yang suka mengulang-ulangi maksiat dan taubatnya? Adakah dia akan diampuni oleh Allah Taala? Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang hamba sudah melakukan dosa, lalu dia berdoa: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sudah berdosa, maka ampunilah aku! Maka Tuhannya berfirman: Hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa dan menghukumnya maka Aku mengampuninya. Kemudian dia tetap dalam keadaannya menurut ketentuan Allah. Dia pun melakukan dosa lain lalu berdoa: Ya Tuhanku sesungguhnya aku melakukan dosa lain, ampunilah aku. Tuhannya berfirman: Hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa dan menghukumnya, maka Aku mengampuninya. Kemudian dia tetap dalam keadaannya menurut ketentuan Allah. Dia pun melakukan dosa lain lalu berdoa: Ya Tuhanku sesungguhnya aku melakukan dosa lain, ampunilah aku. Tuhannya berfirman: Hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa dan menghukumnya, maka Aku mengampuninya, hendaklah dia melakukan menurut kehendaknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Al-Qardawi mengulas hadis itu, katanya: “Ungkapan maka hendaklah dia melakukan menurut kehendaknya, makna yang sebenar hanya Allah saja Yang Maha Mengetahuinya. Penafsirannya ialah setiap kali hamba melakukan dosa, dia bertaubat, yang demikian itu menjadi penghapus dosa-dosanya. Ia bukan bermakna sengaja melakukan dosa, rela dan suka bermaksiat dengan tujuan untuk mempermain-mainkan Allah SWT.

Manusia boleh melakukan apa saja sesuka hatinya, Allah tetap Maha Pengampun...

Tetapi adakah kita sanggup mengambil risiko bermain-main dengan rahmat dan ampunanNya jika kita sendiri tidak pasti permainan itu akan berakhir di mana?...

Adakah berakhir dengan husnul khatimah atau suul khatimah?...

Risiko itu tetap ada di atas jalan yang kita tempuhi...

Mati dalam taat atau maksiat?...

Kita sendiri yang memilih...

Beranikah kita mencuri peluang atas rahmat dan maghfirahNya?...



Tuesday, March 9, 2010

LANGKAH TERCIPTA



Semalam aku kelukaan

kecewa kehampaan

Mencalar ketabahan

Mimpi yang sering ku harapkan

Menjadi kenyataan

Namun tak kesampaian

Allah…

Ingin ku hentikan

Langkah ini

Bagaikan tak mampu untuk ku bertahan

Semangat tenggelam

Lemah daya

Haruskah aku mengalah

Namun jiwaku berbisik

Inilah dugaan

Dan mataku kini terbuka

Pada hikmah dugaan

Uji keimanan

Tak dilontarkanNya ujian

Di luar kekuatan

Setiap diri insan

Allah…

Pimpinlah diriku

Untuk bangkit semula

Meneruskan langkah

Perjuangan ini

Cekalkan hati dan semangatku

Kurniakanlah ketabahan

Agar mimpi jadi nyata

PadaMu ku meminta

Daku mohon Agung KudratMu

Wahai Tuhan yang satu

Segalanya dariMu



Friday, March 5, 2010

BAHAGIA










Inilah erti bahagia
Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.

Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
“ Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)

Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
“ Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.

Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara “auto pilot”.

Kaedah mencari bahagia mengikut Al Quran dan Sunnah:

1. Beriman dan beramal salih.
“Siapa yang beramal salih baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan.” (An-Nahl: 97)

Ibnu ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa sekelompok ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal dan baik (halalan tayyiban). Sayidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qana’ah (merasa cukup). Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.

2. Banyak mengingat Allah .
Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu.” (Ar-Ra’d: 28)

3. Bersandar kepada Allah.
Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah berfirman:
“Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya.” (Ath-Thalaq: 3)

4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik.
Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.
Firman-Nya:
“Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan di antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu karena mengharapkan keredaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar.” (An-Nisa: 114)

5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam.
Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu karena apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula.

Rasulullah SAW bersabda: “Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagi mu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpa mu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: “Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu,” akan tetapi katakanlah: “Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan,” karena sesungguhnya kalimat ‘seandainya’ itu membuka amalan syaitan.” (HR. Muslim)

6. Melihat “kelebihan” bukan kekurangan diri.
Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki karena dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan Allah kepada kita. Rasulullah SAW bersabda:
“Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu karena dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

7. Jangan mengharapkan ucapan terima kasih manusia.
Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada di antara hukama berkata, “sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa!”. Firman Allah:
“Kami memberi makan kepada kalian hanyalah karena mengharap wajah Allah, kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan tidak pula ucapan terima kasih.” (Al Insan: 9)

Zikrullah bawa bahagia:
Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi hati tidak tenang. Kenapa? (Untuk menjawabnya sila rujuk enteri saya dalam tajuk Mencari Ketenangan Hati).

Bahagia itu letaknya di hati. Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita. Agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.

Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Oleh itu berhati-hatilah menjaga hati!

Dipetik dari gentarasa…